Berita Hari Ini

Isu Imigresen Rentasi Brunei Dijangka Selesai Tahun Depan

BANDAR SERI BEGAWAN: Segala isu imigresen yang berkaitan laluan Lebuhraya Pan Borneo merentasi Brunei, dijangka dapat diselesaikan tahun hadapan, sebelum rundingan tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersempena rundingan tahunan pemimpin ke-21 Malaysia-Brunei, cadangan Malaysia untuk mewujudkan laluan baharu dari Bandar Seri Begawan ke Limbang di Malaysia, turut diterima baik oleh baginda Sultan.

Beliau berkata baginda juga mahu supaya proses memberi kelulusan imigresen yang melibatkan keperluan cop pada pasport sebanyak tujuh kali untuk laluan sehala merentasi Brunei ketika ini, dikurangkan kepada hanya sekali cop ketika masuk, dan sekali lagi semasa keluar.

Katanya, Malaysia juga akan mencadangkan supaya dibangunkan satu sistem yang mudah diaplikasi di samping menjaga keperluan keselamatan, bertujuan memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara, dan pada masa sama, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan.

“Perkara ini sudah lama dibincangkan, kedua-dua pihak bersetuju supaya ia mesti diselesaikan sebelum rundingan tahunan pemimpin akan datang,” katanya dalam persidangan media selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di sini, menurut laporan Bernama.

Najib berkata Sultan Hassanal Bolkiah jelas menantikan usaha ke arah melancarkan pergerakan laluan Pan Borneo, kerana menurutnya, semasa baginda menyertai Regatta di Kuching Sarawak minggu lepas, anggota pasukan baginda yang menggunakan laluan darat terpaksa menempuh perjalanan sehingga 14 jam untuk sampai.

Perdana menteri berkata, beliau memaklumkan bahawa apabila siap Lebuhraya Pan Borneo, tempoh waktu perjalanan itu dijangka boleh dikurangkan sehingga separuh daripada tempoh waktu ketika ini.

“Itulah kesan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo itu nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");