Sukan Hari Ini

Isu Tiket Final Piala Malaysia: KFA Nafi Tak Telus

ALOR SETAR: Isu tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT), gamat dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Ia tercetus apabila ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendakwa kaedah penjualan tiket berkenaan di Stadium Darul Aman, di sini, dibuat atas kapasiti politik.

Tuduhan oleh Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) itu menyebabkan sidang gamat, terutama apabila Datuk Ali Yahya (BN-Pantai Merdeka) bangkit menyangkal kenyataan itu.

Ali berkata, dakwaan berkenaan tiada asas kerana beliau sendiri sebagai ADUN BN turut sukar mendapatkan tiket sehingga terpaksa membelinya di pasaran gelap pada harga antara RM80 hingga RM100 sekeping.

“Saya ada sediakan beberapa bas untuk peminat Kedah dari Pantai Merdeka ke Stadium Shah Alam, namun separuh daripada mereka tidak dapat pergi sebab orang saya gagal dapatkan tiket meskipun tunggu berjam lamanya.

“Jadi pembangkang tidak seharusnya gunakan isu tiket bagi mendapatkan manfaat politik kerana ada juga individu dalam persatuan tertentu mendapat tiket.

“Mereka dapat tiket walaupun daripada parti pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya sambil mendakwa, isu berkenaan juga disebabkan kelemahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Penjualan tiket untuk perlawanan akhir Piala Malaysia mencetuskan kontroversi apabila 8,000 tiket yang dijual melalui kaunter habis tidak sampai dua jam.

Ia menyebabkan penyokong Helang Merah yang beratur berjam-jam lamanya, kecewa kerana gagal membeli tiket berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar, menafikan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak telus dalam penjualan tiket perlawanan itu.

Sebaliknya, beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri ada menempatkan pegawainya di kaunter bagi mengelakkan penipuan dalam penjualan tiket.

“KFA terima kuota 30,000 tiket dan 8,000 daripadanya dijual di kaunter kepada peminat. Bakinya pula dijual melalui tempahan membabitkan 400 bas dengan jangkaan 44 peminat di setiap bas, selain kepada pertubuhan bawah KFA, ” katanya.

Beliau berkata, KFA akan mencadangkan kepada FAM untuk menjual tiket secara dalam talian pada masa depan bagi mengelakkan sebarang masalah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");