Berita Hari Ini

Jangan Burukkan Peribadi Orang – PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak akan terikut-ikut dengan cara permainan politik bekas pemimpin negara terdahulu yang kasar dan biadab hingga sanggup memburukkan peribadi orang lain.

Tanpa menamakan individu berkenaan, Perdana Menteri berkata pemimpin itu sanggup menghina masyarakat Bugis sehingga menimbulkan kemarahan etnik berkenaan

“Bugis pula yang dia marah, (sedangkan) sejarah Bugis gemilang, mereka pejuang hinggakan Belanda takut dengan keturunan Bugis, jangan suruh saya balik (ke Sulawesi), saya tak suruh dia balik (ke tempat asal), saya tak payah suruh sebab saya tak nak ‘stoop to his level’.

“Saya Perdana Menteri, saya kena jaga, saya Perdana Menteri untuk Malaysia, saya kena bawa politik bermoral, politik yang ada tata susila, sopan santun, saya lebih suka kalau nak pukul, pukul dengan sindiran, cuit, tak pukul tegak cara kasar, ‘brutal’, biadab.

“Jangan ajar rakyat Malaysia politik macam ini…kita ni pemimpin, kita orang tua, kena tunjuk teladan yang baik, kalau berbeza pendapat pun tak apa, tak setuju dengan dasar pun tak apa, tetapi jangan burukkan peribadi orang, ini bukan politik orang Malaysia.

“Ini tak sepatutnya datang daripada bekas pemimpin negara, ini bukan caranya, saya tak mahu anak muda belajar politik seperti ini kerana kita mahu membina sebuah negara yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Konvensyen ini bertujuan memberi penerangan mengenai kepentingan, etika media sosial dan gerak kerja yang lebih berkesan kepada penggiat media sosial UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");