Berita Hari Ini

Kaji Kaedah Tangani Kes Eksploitasi Perkahwinan

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor meminta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengkaji dan mengemukakan kaedah bagi menangani masalah eksploitasi perkahwinan warga tempatan dengan warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata kerajaan negeri sedar meskipun kini perkara berkenaan dilihat agak terpencil, kebimbangan tetap disuarakan berikutan negara ini yang menjadi tumpuan warga asing mendapatkan pekerjaan.

Katanya, kebanyakan kes perkahwinan wanita tempatan dengan warga asing dirujuk ke Pejabat Kadi Daerah dan pasangan kebiasaannya tidak mahu memfailkan permohonan, sebaliknya hanya mahu mendapatkan khidmat kaunseling serta pandangan sahaja.

“Kita (kerajaan negeri) akan melihat perkara ini untuk elak ia menular pada masa akan datang, sama ada dengan memperkenalkan kaedah perkahwinan berbeza atau melihat kufu (taraf) kedua-dua pasangan untuk dijadikan panduan.

“Jabatan Agama akan memberi pandangan, dan saya akan minta JAINJ kaji kaedah untuk selesaikan perkara ini bagi mengelak ia menular dan menjadi lebih besar suatu hari nanti pada masa akan datang,” katanya, seperti dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ismail Roslan (BN-Semerah) pada penggal persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-13, di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Abd Mutalip berkata, undang-undang dan peraturan berkaitan nikah kahwin di Johor dikanunkan berdasarkan hukum syarak yang berkuatkuasa sehingga hari ini iaitu Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 dan Tatacara dan Panduan Pengurusan Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri 2015 (Pindaan 2016).

“Antara perkara yang dikanunkan ialah peraturan tentang permohonan kebenaran berkahwin dengan warga asing di negeri Johor dan permohonan kebenaran berkahwin oleh warga asing di negeri ini.

“Ada pun niat untuk mengeksploitasi perkahwinan dinilai dalam permohonan kebenaran berkahwin menggunakan kaedah asas fiqh yang menyebut ‘hukum yang dinilai adalah berdasarkan bukti yang zahir, manakala yang tersirat hanya Allah yang mengetahui rahsianya’,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");