Jenayah

Kegiatan Lampau ‘Datuk Seri’ Disiasat

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang ditahan kerana dipercayai memukul tiga anggota RELA hingga cedera turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata berikutan itu, polis turut menyiasat sama ada lelaki terbabit masih terbabit dengan dadah pada masa ini kerana saringan air kencingnya adalah positif dadah ketika ditahan.

Berikutan itu, katanya, polis meneliti semua kegiatan lelaki berusia 29 tahun terbabit yang ada kaitan dengan sebarang jenayah.

Malah, katanya, polis juga menyiasat dakwaan lelaki terbabit mempunyai senjata api.

“Kita akan melihat pelbagai aspek lain sama ada suspek ini terbabit dalam sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang termasuk dakwaan dia memiliki senjata api.

“Sebarang pengeluaran lesen penggunaan senjata api adalah tertakluk kebenaran Ketua Polis Negara, demi keselamatan individu tertentu namun sekiranya dia memilikinya untuk membahayakan nyawa keselamatan orang lain lesen berkenaan boleh ditarik balik,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 kanun yang sama kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, tiga anggota RELA iaitu Melvin Cheong Mun Khai, 19; Leong Jiun Jie, 21, dan Lee Weng Poh 27, masing-masing bengkak mata kiri selain sakit beberapa bahagian badan selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek.

Kejadian berpunca daripada tindakan mangsa yang meminta kenderaan Toyota Vellfire milik suspek yang diletakkan di tepi jalan besar berhampiran sebuah tokong di Kampung Baru, Ampang, dialihkan kerana menghalang lalu lintas.

Lelaki itu ditahan pada jam 4 petang, kelmarin, selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, sebelum direman selama empat hari sehingga 3 November ini.-BH Online

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");