Berita Hari Ini

Kejayaan Pemimpin Bergantung Kepada Peranan Isteri: PM Najib

MELAKA: “Kejayaan, keberkesanan dan kesejahteraan dibawa seorang pemimpin Bariasn Nasional (BN) terutamanya kepada rakyat bergantung kepada peranan dimainkan isteri pemimpin berkenaan,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata isteri pemimpin itu memainkan peranan penting dalam menjadi teman setia yang memahami tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan suami mereka.

“Jika isteri jadi teman sejati, dapat hiburkan hati kita dan memahami tugas kita  selain memahami hati dan jiwa kita, saya yakin setiap wakil rakyat BN akan lebih berjaya.

“Bab ini (perlu) beri perhatian supaya suami kita dapat jalankan tugas dengan baik terutama sudah dekat nak pilihan raya (umum) ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Penutup Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) di Bandar Hilir, Melaka, malam tadi, lapor Bernama.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri Perdana Menteri dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Pada majlis sama, Bakti dinobatkan sebagai johan keseluruhan program itu dan Najib turut menyampaikan piala iringan kejohanan kepada Rosmah selaku Yang Dipertua Bakti.

Najib berkata, isteri-isteri wakil rakyat BN perlu mengamalkan pendekatan mesra rakyat dan memberikan sumbangan besar kepada rakyat tanpa wujud sebarang jurang pemisah.

“Ada kumpulan jika isteri (pemimpin) mainkan peranan, lebih meresap pengaruhnya. Misalnya persatuan ibu tunggal dan anak yatim di kawasan kita. Waktu musibah di kawasan kita, kalau isteri turun bersama-sama itu lebih baik.

“Isteri atas badan amal kebajikan mereka boleh lakukan amal dan pendekatan mesra rakyat bersama (pemimpin BN) membantu rakyat, sumbangan ini cukup besar kepada kerajaan BN,” katanya.

Justeru, beliau berkata isteri pemimpin itu perlu mempelajari dan memahami segala usaha membantu rakyat yang dilaksana kerajaan BN bagi memudahkan mereka membantu suami masing-masing.

Katanya, kerajaan banyak melakukan kebaikan untuk rakyat namun kurang mendapat penghargaan, maka usaha menghebahkan dan menerangkan perkara itu melalui fakta mampu dilakukan terutama oleh isteri pemimpin BN.

“Pemimpin sering berdepan dengan tohmahan dan fitnah namun ia (usaha menerangkan dengan fakta) boleh memperbetulkan persepsi terutamanya persepsi rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");