Sukan Hari Ini

Kemas Kini Ubat Terlarang

JOHOR BAHRU: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengemas kini senarai ubat dipercayai mengandungi bahan terlarang, sehingga menyebabkan atlet gagal dalam ujian doping.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya akan merujuk Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung garis panduan isu doping yang ditetapkan agensi itu.

“Kita lihat kebelakangan ini atlet mempunyai kecenderungan membeli ubat yang mereka fikirkan bahan itu memberi kebaikan, contohnya pembelian menerusi dalam talian, tetapi akhirnya mereka gagal melihat bahawa dalam pil yang diambil ada juga bahan terlarang, sekali gus menyebabkan mereka terperangkap.

“Satu perkara yang kita perlu tahu bahawa Agensi Antidoping Dunia (WADA) dulu hanya melaksanakan ujian air kencing, tetapi akhir-akhir ini dalam sukan yang besar, mereka mula menjalankan ujian darah.

“Ujian ini kebarangkalian lebih terperinci kerana dalam kita (BAM) menghadapi saringan yang lebih ketat, kita memerlukan pendekatan yang lebih sofistikated,” katanya pada sidang media di Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas isu seorang atlet Muay Thai negara yang didapati positif bahan terlarang Diuretics pada Julai lalu, selain pemain badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei yang pernah digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana isu doping.

Mohamad Norza berkata, pihaknya mempunyai garis panduan tertentu kepada pemain dan setiap program anjuran BAM sentiasa menumpukan kesedaran isu doping itu.

“Garis panduan ini akan selalu dikemas kini kerana pihak WADA juga sudah menambah senarai bahan terlarang ini, kerana jika kita lihat, pemain tenis terkemuka, Maria Sharapova, di peringkat tertinggi pun tidak tahu ada ubat yang diambil itu dimasukkan dalam senarai terlarang,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan di Dewan Persatuan Badminton Johor, di sini, hari ini.

Mohamad Norza berkata, kejohanan julung kali diadakan membabitkan 15 negeri dari seluruh negara, Johor menjadi lokasi ke-10 yang berlangsung selama tiga hari hingga Sabtu ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya penyertaan daripada kira-kira 1,000 sekolah membabitkan 5,000 pemain bawah 18 tahun, dilihat mampu menjadi platform bagi mencungkil bakat baru yang akan menjadi pelapis di peringkat lebih tinggi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");