Berita Hari Ini

Kerajaan Bakal Raih Pelaburan RM2 Bilion

KUALA LUMPUR – Kerajaan, menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), berada di landasan untuk meraih pelaburan tambahan bernilai RM2 bilion bagi projek-projek dilulus yang mengguna pakai sistem bangunan berindustri (IBS) menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehingga Oktober 2017, Mida meluluskan pelaburan bernilai RM1.8 bilion bagi projek berkaitan IBS di negara ini.

“Bab pelaksanaan adalah penting. Telah banyak kita luluskan, namun, kita perlu memastikan projek-projek tersebut boleh direalisasikan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan “Direktori IBS dan Rantaian Bekalan Bahan Binaan 2017/2018”, pada Rabu lapor Bernama.

Mustapa berkata IBS penting kerana ia boleh menambah baik lagi produktiviti sektor pembinaan tempatan untuk menjadikannya lebih cekap, memendekkan masa penyiapan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata kebanyakan daripada 260 syarikat IBS tempatan sekarang merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan komponen asas.

Menurutnya, Mida telah meluluskan empat projek berkaitan IBS dengan insentif cukai bagi menyokong penggunaan bahan dalam industri pembinaan.

Beliau menyebut contoh dua projek berskala besar yang sedang dimajukan sekarang yang merujuk kepada usaha untuk mencapai ekonomi bidangan, produktiviti dan kecekapan apabila menggunakan IBS.

Pertamanya Gamuda IBS milik penuh Gamuda Bhd, yang diberikan elaun cukai pelaburan oleh MIDA, sedang membangunkan kilang IBS bernilai RM500 juta di dua lokasi — Sepang dan Banting, keduanya Country Garden Pacific View Sdn Bhd yang membina kilang IBS bernilai RM2.6 bilion di Forest City, Johor.

Mustapa berkata penggunaan IBS akan menjadi lebih cekap dan efektif dari segi kos dalam projek berskala besar seperti Gamuda dan Forest City.

Direktori tersebut, yang dibangunkan bersama oleh MIDA dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengandungi butiran hubungan lebih 4,000 syarikat dan pihak berkepentingan relevan, berfungsi sebagai rujukan menyeluruh bagi industri pembinaan, terutamanya yang berkaitan IBS dan bahan binaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud, Pengerusi CIDB Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");