IPOH: Kerjaan Negeri akan memperkenalkan satu inisiatif, yang bakal memfokuskan terhadap pembangunan pelajar-pelajar di sekolah berprestasi rendah di seluruh Perak.
Dengan berkonsepkan seperti program anak angkat, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia juga sebagai suatu perangsang motivasi kepada guru-guru di sekolah berkenaan untuk terus berusaha memajukan pelajar mereka dalam bidang akademik.
“Sebagaimana saya (pernah )umumkan iaitu program Anak Cemerlang Amanjaya (ACe) yang mana ia diwujudkan untuk anak-anak Perak yang cemerlang dalam bidang pendidikan.
“Dalam masa sama, kita juga lancarkan satu lagi program, (yang berkonsepkan) program anak angkat, khusus untuk sekolah-sekolah yang berada di band 6,” katanya.
Tambahnya, setiap pendidik khususnya yang berada di sekolah prestasi rendah, harus mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mendidik pelajar mereka selain yakin bahawa sekolah mereka juga boleh melahirkan insan-insan yang hebat di masa hadapan.
Selain itu, Zambry juga berkata, walaupun bidang tersebut merupakan di bawah kuasa kerajaan persekutuan namun, kerajaan negeri sentiasa komited terhadap pembangunan sektor berkenaan menerusi beberapa inisiatif, seperti penambahan jumlah peruntukan untuk pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Pendidikan dan Persidangan Tahunan Majlis Guru Besar (MGB) Negeri Perak Kali Ke 30 di Hotel Kinta Riverfront, dekat sini, pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.