Perak Hari Ini

Kes Keracunan Makanan Di Sekolah, Kolej: Pantauan Berterusan

IPOH:Pengendali makanan yang tidak mengamalkan aspek keselamatan dan teknik pengendalian makanan tidak betul antara penyebab kepada laporan kes keracunan makanan di sekolah dan kolej negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu,Datuk Dr Mah Hang Soon berkata bilangan jumlah kes bagi sekolah dan kolej yang terlibat dengan wabak keracunan makanan berbeza dan berubah setiap tahun.

Katanya, menerusi laporan bagi tahun 2010 sebanyak 25 sekolah dan kolej melibatkan 750 kes; (2011) 37 sekolah dan kolej iaitu 573 kes; (2012) 37 sekolah dan kolej (1248 kes); 2013, 32 sekolah dan kolej (1017 kes); 2014, 34 sekolah dan kolej (1093 kes) dan bagi 2015 27 sekolah dan kolej (1009 kes).

Manakala bagi tahun 2016 sebanyak 39 sekolah dan kolej dilaporakan terlibat dengan jumlah kes sebanyak 1185 serta bagi tahun ini sahaja setakat Januari hingga Oktober sebanyak 15 sekolah dan kolej dengan jumlah kes sebanyak 475.

Jelasnya lagi, sebanyak 10 kompaun dikeluarkan dibawah peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 pada tahun 2016 dan Januari hingga Oktober tahun ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan oleh Adun Sungkai, A.Sivanesan pada sesi persidangan dewan undangan negeri hari ini.

Katanya lagi, pelbagai bengkel dan taklimat kebersihan dan keselamatan makanan kepada pengusaha dan kontraktor pengendali makanan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

“Kita sentiasa memastikan pengendali makanan menghadiri Latihan Keselamatan Makanan yang dianjurkan oleh Sekolah Latihan Pengendali makanan.

“Pemantauan dan pemeriksaan premis ke atas semua kantin dan dapur asrama sekolah dijalankan secara berkala iaitu sebanyak dua kitaran setahun.

“Persampelan makanan dibuat sekiranya pemeriksaan mendapati terdapat faktor risiko yang boleh menjejaskan keselamatan makanan,” katanya.

Bagaimanapun katanya elemen penjagaan kebersihan dan sikap pengendali makanan mengenai penjagaan kebersihan makanan perlu berubah selain pengawasan berterusan daripada pihak Jabatan Kesihatan yang giat dijalankan dari semasa ke semasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");