Isu Panas

Ketua Pembangkang Kedah Sertai Bersatu

ALOR SETAR – Ketua Pembangkang Kedah dari Pas, Datuk Amiruddin Hamzah memilih menyertai parti Bersatu, berbanding Amanah walaupun dirinya dikaitkan dengan parti itu sebelum ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas menerima borang keahlian Amiruddin, yang diserahkan pada sidang media, hari ini.

Amiruddin berkata, keputusan menyertai Bersatu dibuat setelah Pas bertegas dengan pendirian parti itu untuk bersendirian dan tidak bersama Pakatan Harapan dalam PRU14.

“Saya berpandangan kita harus berdepan BN pada PRU14 dalam keadaan padu. Apabila parti yang saya sertai sebelum ini buat keputusan untuk tidak bersama Pakatan Harapan, dan ia mustahil berlaku, saya perlu buat keputusan terbaik, iaitu dengan sertai salah satu parti dalam pakatan,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurutnya, keputusan ini juga dibuat setelah mendapat konsultasi bersama rakan-rakan politik bagi memastikan perjuangan untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat dapat dilakukan.

“Pembangkang harus ada kesepakatan padu untuk berdepan BN, ini hanya dapat dilakukan jika saya bersama Pakatan Harapan. Semua empat parti itu rakan-rakan belaka, saya pilih Bersatu untuk bersama gabungan pembangkang menentng BN,” katanya.

Amiruddin yang juga Adun Anak Bukit berkata, sama ada Bersatu atau Amanah menjadi pilihan, ia bukan suatu persoalan kerana parti itu membawa mesej yang sama.

“Saya yakin kita perlukan suatu kesepakatan dari pelbagai latar belakang parti politik, dianggotai semua bangsa dan agama untuk beri tentangan lebih baik. Sebelum ini pembangkang tidak pernah berada dalam satu gabungan padu dalam PRU,” katanya.

Menurutnya, pembangkang perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada PRU12 dan PRU13, yang menyaksikan kekuatan gabungan parti pembangkang mampu meranapkan sebahagian kawasan ditakluki BN.

Amiruddin turut menyifatkan pendirian Pas yang hanya mahu bersama blok ketiga sebagai pendekatan kurang bijak dan tidak memberi natijah baik kepada rakyat.

Mengulas mengenai keahliannya dalam Pas, katanya, mana-mana individu yang menyertai parti baharu, secara automatik keahlian parti lama gugur.

“Saya tak terikat lagi pada Pas, kita tak ada bai’ah, selagi jadi ahli hanya berpegang pada perlembagan parti dan perjuangan,” katanya.

Amiruddin juga menyerahkan kedudukannya selaku Ketua Pembangkang Kedah kepada Pas untuk menentukannya, berikutan Pas memiliki majoriti jumlah kerusi.

“Komposisi pembangkang dalam Dun Kedah milik Pas, bilangan kerusi mereka paling banyak, jadi mereka akan buat keputusan. Namun amat tidak wajar untuk saya terus memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang setelah sertai Bersatu, saya serahkan pada Pas tentukan,” katanya.

Sementara, Mukhriz yang juga Pengerusi Bersatu Kedah merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Kedah berkata, penyertaan Amiruddin diyakini mampu memberi kekuatan kepada pembangkang, khususnya di kawasan Dun Anak Bukit yang diwakili Amiruddin sejak beberapa penggal.

“Kami amat mengalukan kehadiran Amiruddin untuk bersama kami menjatuhkan kerajaan BN, khususnya untuk menawan Kedah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");