Sukan Hari Ini

Khairy Berdiam Diri

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan mengulas lanjut berhubung kes saman membabitkan tiga atlet menembak negara.

Tegas beliau, perkara itu sudah diserahkan kepada Institut Sukan Negara (ISN) dan peguam untuk menangani kes berkenaan.

Pada 30 Oktober lalu tiga atlet menembak negara yang pernah bernaung di bawah program Podium memfailkan saman dengan menamakan ISN sebagai defendan tunggal.

Biarpun dihujani dengan beberapa isu panas membabitkan Program Podium seperti saman selain kewajaran tidak menyenaraikan hoki dalam program berkenaan, ia sesekali tidak akan mengganggu perjalanan program berkenaan apabila senarai baru atlet di bawah program itu akan diumumkan Jumaat ini.

Khairy ketika ditemui pada Program Satu Pingat Satu Pokok sebagai simbolik kepada pemenang pingat emas pada temasya Sukan Kuala Lumpur (KL2017) di kawasan Kuala Lumpur Sports City (KLSC), di sini,  berkata, satu mesyuarat pemilihan atlet akan diadakan membabitkan beliau dan juga ahli jawatan kuasa prestasi tinggi.

“Saya difahamkan ada beberapa atlet yang disingkirkan dan ada senarai atlet baru akan dimasukkan.

“Ia sebahagian daripada rebiu kepada prestasi atlet yang dikaji secara berkala dalam program itu.

“Bagaimanapun belum ada senarai muktamad dan hanya akan dibincangkan secara terperinci esok,” katanya, menerusi laporan Harian Metro.

Awal tahun ini Pengarah Program Podium Tim Newenham mengambil tindakan drastik menggugurkan 12 atlet termasuk lapan atlet paralimpik negara kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan selain menyerapkan 32 muka baru.

Program Podium dilancarkan pada 2 Februari 2016 dengan sejumlah 97 atlet merangkumi 21 jenis sukan.

Selepas setahun beroperasi, bilangan atlet yang terpilih untuk program ini meningkat kepada 117 berbanding 97 tahun lalu.

Atlet yang terpilih perlu melalui beberapa fasa pemilihan. Biarpun tidak memenangi pingat di kejohanan utama, tetapi mempunyai kecenderungan untuk meraih pingat pada masa akan datang membolehkan mereka turut disenaraikan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");