Isu Panas

Kisah Pak Jamal Jamu Warga Kota Percuma Setiap Hari

KETIKA pihak pembangkang lebih selesa ‘bising’ konon rakyat melarat lapar akibat harga makanan di restoran mahal, tidak pula mereka berbuat apa-apa pun demi membantu meringankan masalah.

Sebaliknya pada masa sama, aktivis masyarakat, Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengambil inisiatif menolong warga kota yang tiada wang membeli makanan tengah hari ketika waktu rehat kerja.

Terletak di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, premis yang dibuka sejak bulan lalu khas hanya untuk warga Malaysia itu menghidangkan pelbagai menu menarik termasuk nasi putih dan nasi minyak.

Tidak ketinggalan lauk ayam masak merah, kari ikan, jagung rebus, ikan goreng dan aneka sayur. Ramai pekerja pejabat sekitar kawasan itu dilaporkan tidak lepaskan peluang berbaris antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

Malahan ada penduduk termasuk pelajar sekolah dan gelandangan mula mengerumuni restoran itu sejak pukul 11 pagi lagi bagi menikmati makanan percuma yang diberikan hasil usaha kerjasama beberapa ahli korporat tempatan.

Orang ramai yang hadir juga dilihat tidak berasa kekok apabila selepas makan mereka ‘diwajibkan’ untuk membasuh sendiri segala pinggan, sudu, garpu dan cawan masing-masing ketika menuju ke kawasan sinki basuhan disediakan.

Lebih menarik, suasana restoran itu pula ibarat majlis kenduri kendara dengan alunan muzik berkumandang dalam suasana hiruk pikuk kenderaan di sepanjang Jalan Pahang sementara menunggu beratur mengambil hidangan.

Sehingga jam 1 tengah hari, restoran yang mampu memuatkan 250 kerusi sudah penuh kerana waktu makan tengah hari bagi warga kota yang kerja di kawasan sekitar mula datang untuk menikmati makanan secara percuma itu.

Malah, restoran yang mempunyai 15 pekerja sukarela itu didatangi masyarakat setempat tanpa mengira bangsa, agama serta umur bagi menikmati hidangan secara percuma yang dianggap kali pertama dilakukan seumpama itu.

Menurut Jamal: “Menu makanan percuma ini disediakan untuk 1,000 orang pada setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Ada hari, saya terpaksa menambah kuantiti juadah sebanyak 1,000 lagi kerana ada makanan sudah habis.

“Kita pernah terpaksa sekat sikit makanan bagi memberi peluang kepada mereka yang datang lambat dapat juga menikmati makanan itu secara percuma,” katanya yang turut sibuk memasak di bahagian dapur pada sebelah pagi.

Tambah Jamal, pemberian ihsan itu dianggarkan mengunakan peruntukkan sebanyak RM5,000 setiap hari untuk kos selama tiga tahun dan cawangan seterusnya turut dibuka di Sekinchan, Selangor pada 25 Oktober lalu.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui pemberita turut memuji usaha murni Jamal dan berkata mereka boleh menjimatkan duit perbelanjaan harian sehingga RM15 untuk kos makan tengah hari di pusat bandar raya.

Kakitangan swasta, Nor Zaitulniza Md. Yasin, 36, mengetahui adanya sesi makan tengah hari percuma melalui rakannya serta menyifatkan menu makanan yang dihidangkan juga cukup sedap dan berhasrat untuk datang lagi.

“Dengan adanya ini dapat bantu golongan berpendapatan rendah. Ini kerana makan tengah hari adalah menu yang penting dan memerlukan kos tinggi,” ujarnya yang mengharapkan usaha dilakukan Jamal ini berterusan tidak henti.

Senada dengannya, Muhammad Syufri Poncho, 43, berharap restoran percuma ini dapat buka cawangan di beberapa lokasi lain agar orang tidak mampu ke kawasan ini dapat sama menikmati makanan percuma yang dilakukan Jamal.

“Perbuatan pemilik restoran ini amat baik kerana memberi makanan percuma kepada orang ramai. Bahkan beliau juga mengalu-alukan kedatangan semua rakyat Malaysia yang miskin tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Manakala Musimin Yahya, 50, menyambut baik usaha dijalankan Jamal dan mengharapkan agar ada lebih ramai lagi tampil memberikan makanan secara percuma ini nanti pada masa akan datang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");