Berita Hari Ini

KKLW Tidak Iktiraf UEC Untuk Kemasukan Ke IPT

BERA – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tidak akan mengiktiraf dan menerima mana-mana pelajar yang menggunakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki institut pengajian tinggi di bawah kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana Pertubuhan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang memperkenalkan UEC perlu memahami dan menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan terlebih dahulu sebelum sijil itu diiktiraf.

“Sebelum nak minta kita iktiraf (UEC), mereka perlu memahami Dasar Pendidian Kebangsaan kerana dasar ni sudah lama, jadi tak boleh ke kita ikut dasar ini sebagai rakyat Malaysia.

“Saya rasa sebelum nak tuntut apa-apa, fahami dulu dasar ini… selagi gagal, saya rasa kita tidak perlu mengiktiraf UEC ini. Macam kita di kementerian sendiri, kita tidak akan menerima sijil ini bukan sahaja di di Universiti Kuala Lumpur tetapi juga Kolej Universiti Poly-Tech Mara dan Universiti Agro Sains Malaysia,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Khatan Perdana Peringkat Parlimen Bera di sini hari ini sebagai mengulas desakan berterusan Dong Zong kepada kerajaan supaya menerima dan mengiktiraf sistem yang mengguna pakai sukatan pelajaran Taiwan itu.

Ismail SabrI berkata setakat ini kabinet juga belum bercadang untuk mengiktiraf sistem itu dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu seramai 350 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Bera menyertai program khatan perdana anjuran Umno Bahagian Bera itu.

Ismail Sabri berkata program berkenaan merupakan kali ketujuh diadakan dan merupakan sebahagian daripada sumbangan Umno kepada rakyat dalam usaha untuk meringankan bebanan mereka.

“Saban tahun program khatan percuma seperti ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk dan untuk tahun ini kita membawa khas seramai 18 tok mudim profesional yang terdiri daripada doktor bukan sahaja dari Pahang tetapi juga Terengganu dan Kelantan,” kata Ketua Umno Bera itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");