Berita Hari Ini

“Kurang Ajar!” – Menteri Berang Hotel Larang Hijab

“MEMANG kurang ajar!…” Itu kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengulas tindakan segelintir pemilik hotel melarang staf wanitanya memakai tudung.

Dalam sidang akhbar di Parlimen pada hari ini, beliau menyokong kenyataan timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sambil menyifatkan perbuatan tersebut sebagai suatu tindakan kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mengingatkan setiap pemilik hotel yang menjalankan perniagaan mereka di negara ini untuk perlu menghormati undang-undang tubuh negara Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dia (pengusaha hotel antarabangsa) jelas telah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apa sahaja aktiviti dilakukan di negara ini tidak boleh bertentangan dengan semua ini (Perlembagaan Persekutuan).

“Sepatutnya dia (hotel antarabangsa) yang datang ke negara kita kena hormat (budaya) negara ini,” kata Mohamed Nazri mengulas kekesalan Mas Ermieyati apabila mendakwa ada hotel menyekat pekerja Muslimah bertudung.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk laporan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu petugas wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) Sesi 7, Nik Muhammad Syukri Samudi berkata larangan pelik tersebut di negara majoritinya Muslim adalah tindakan yang cabar sensitiviti umat Islam.

Menurutnya, golongan wanita di negara ini tidak wajar sama sekali dihalang daripada mempraktikkan kepercayaan agama masing-masing apatah lagi Islam merupakan agama Persekutuan sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

“Isu ini menimbulkan prasangka bahawa umat Islam tidak bebas mengamalkan ajaran agama di dalam negaranya sendiri semata-mata alasan polisi antarabangsa sedangkan hotel-hotel tersebut beroperasi di Malaysia.

“Lebih penting tudung bukan jadi penghalang mutu kerja dan tiada sebab untuk larang,” katanya dalam kenyataan sebagai mengulas kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan hotel terbabit.

Organisasi tersebut mendakwa larangan pekerja wanita beragama Islam bertudung bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline) adalah keterlaluan dan bersifat diskriminasi terhadap wanita Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng berkata hotel tidak pernah larang staf di bahagian khidmat pelanggan memakai tudung, sebaliknya bergantung pada budi bicara dan kebijaksanaan pihak pengurusan menangani isu itu.

Katanya, walaupun rangkaian hotel antarabangsa ada prosedur operasi standard (SOP) pakaian seragam yang perlu dipatuhi pekerja, ia bukan bertujuan mendiskriminasi kakitangan bertudung. – Agensi/Mynewshub.cc/HHAA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");