Perak Hari Ini

Lebih 2,000 Peminat Motorsikal Berhimpun Di Perak

IPOH:Lebih 2,000 peminat motorsikal bakal berhimpun di negeri ini bagi memeriahkan Perak International Bike Week Volume 1 (PIBW 2017) anjuran Kelab Bikers Perak (Apps Bikers) dan 10 kelab motosikal seluruh negeri Perak.

Bertemakan ‘Revolusi Dunia Permotoran’ penganjuran acara permotoran yang julung kali dianjurkan ini turut mendapat kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak.

Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bertempat di Bulatan Amanjaya Meru di sini hari ini.

Jelas Nolee, acara seumpama ini merupakan penganjuran yang baik apabila ia turut melibatkan penyertaan daripada empat negara luar seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.

“Saya berharap program sebegini boleh dijadikan acara tahunan yang akan dianjurkan oleh jawatankuasa penganjur dengan melibatkan pelbagai gabungan kelab motorsikal daripada negeri Perak bagi mengeratkan silaturahim juga mempromosikan Perak secara umum kepada semua,” katanya kepada media hari ini.

Katanya lagi, program ini berpontensi besar untuk diketengahkan dan dimasukkan sebagai acara tahunan ke dalam kalendar pelancongan bagi Negeri Perak bergantung kepada kesesuaian.

Sementara itu menurut Pengerusi Program PIBW 2017, Azmi Hashim program perhimpunan peminat-peminat motosikal itu diadakan bersempena sambutan Keputeraan Sultan Perak ke-61 yang disambut pada hari ini.

Katanya, PIBW 2017 akan menonjolkan gimik menarik bagi meraikan sambutan Keputeraan Sultan Nazrin Muizuddin Shah dengan membuat ucapan ‘Daulat Tuanku’ melalui susunan topi keledar yang dijangka akan berlangsung esok di Dataran Amanjaya.

Selain itu katanya, program yang diadakan selama tiga hari sehingga 5 November itu juga diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2017, bertempat di salah satu lokasi baru pelancongan di Ipoh iaitu Bulatan Aman Jaya, Meru.

“Sebagai anak jati Perak, kami dari Kelab “Bikers” Perak atau Apps Bikers menunjukkan rasa ketaatan kepada Sultan Perak, Sultan sempena hari keputeraan baginda dengan acara permotoran secara sihat ini.

“Ia secara tidak langsung akan turut membantu mempromosi sektor pelancongan di Perak kerana bikers dari luar Perak dan Malaysia akan turut memeriahkan acara tiga hari ini,” katanya.

Ujar Azmi, selain bikers dari Malaysia, peminat dunia dua roda dari Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia akan turut memeriahkan program tersebut dengan jangkaan pengunjung seramai 25,000 orang.

“Objektif mengerat silatulrahim dalam kalangan para peserta sama ada bikers dari dalam negara dan luar negara, PIBW menyediakan pelbagai aktiviti menarik berkaitan motosikal,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Slot Belia Masjid Negeri Perak, pertandingan motosikal bagi kategori Best Bike / Best Custom Bike / Best Kapcai, lintas hormat dan persembahan bermotosikal daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta konvoi ke Kelly’s Castle, Batu Gajah dan Kompleks Silveritage, Ipoh.

Program juga akan dimeriahkan dengan karaoke santai bikers serta persembahan kebudayaan dari Persatuan Kesenian Sebastiar Perak yang akan mempersembahkan tarian India, Gabungan Sekolah JPN Perak dengan tarian Cina serta tarian sewang daripada masyarakat Orang Asli.

Bagi memeriah dan menggamatkan suasana malam bandar Meru, tujuh selebriti iaitu Yabang (Khalifah), Dwan (Olan), Afee (U-Topia), Ali (Lela), Zack (Massa), Nik (Putra) dan Kensolo (Auraindrapatih) akan membuat persembahan dengan lagu-lagu nostalgia kegemilangan mereka.

PIBW 2017 turut dimeriahkan dengan 15 booth pameran dari Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tourism Perak, Lost World of Tambun, Perak FM serta Motac.

Selain itu, 125 booth pameran turut menjual pelbagai produk berkaitan permotoran, jualan makanan daripada 20 food truck serta surau disediakan oleh Belia Masjid Negeri untuk memudahkan pengunjung untuk bersolat dan pemenang bertuah PIBW 2017 akan membawa pulang sebuah motosikal Modenas Pulsar RS200.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");