Berita Hari Ini

Liow Mahu Siasatan Rapi, Kenal Pasti Punca

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu siasatan lengkap dan rapi dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian tren kargo tergelincir berhampiran laluan Stesen Bank Negara, Kuala Lumpur awal pagi semalam.

Beliau berkata kejadian 12 gerabak tren kargo tergelincir itu merupakan satu tamparan kepada pengangkutan rel negara.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diarahkan untuk mengemukakan siasatan secepat mungkin. Kita mahu mengenal pasti faktor yang menyebabkan kejadian itu berlaku sama ada kelajuan, muatan, kapasiti atau faktor lain.

“Sebaik sahaja keputusan diperoleh, kami akan maklumkan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan perlindungan kargo dan kontena marin Asia pertama,i-Cargo+ bagi pengimport dan syarikat pengangkut yang menggunakan laluan laut di Malaysia di sini hari ini.

Semalam, 12 gerabak tren kargo yang dalam perjalanan menuju ke arah Selatan tergelincir di antara Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur di KM 386 pada 2.58 pagi.

???????Insiden itu menyebabkan tren tidak dapat menggunakan laluan antara Stesen Segambut, Stesen Putra, Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur.

KTMB memaklumkan kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan dijangka pulih dalam tempoh tiga hari.

Liow berkata kementerian memandang berat kejadian tren tergelincir kerana ia menyebabkan gangguan perkhidmatan komuter dan kereta api berelektrik.

“Kejadian ini memberi tamparan hebat kepada pengangkutan awam kita. Kita dalam usaha mengalakkan KTMB membawa banyak kargo melalui landasaan kereta api kerana kita mahu mengurangkan ‘haulier lorry’ di atas jalan raya dan lebih menggunakan landasan kereta api,” katanya.

Mengenai insiden pengguna orang kurang upaya (OKU) mengalami kecederaan ketika menggunakan perkhidmatan rel, Liow menyaran pengendali rel di negara ini menaik taraf kemudahan di stesen yang mesra OKU penglihatan.

“Kita sentiasa mengambil berat keselamatan pengguna rel. Sehubungan itu, saya berharap operator rel boleh menyediakan pintu cermin atau gate untuk memberi amaran kepada pengguna, khususnya OKU penglihatan.

“Kesedaran dan pendidikan di kalangan pengguna lain juga penting untuk memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");