IPOH:Majestic Walk dijangka bakal menjadi satu lagi ruang perniagaan terbaru yang mampu menarik pelancong juga penduduk Ipoh sendiri mendapatkan pelbagai produk menarik dan terkenal di negeri ini.
Projek tapak jualan di koridor Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh merupakan anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang bekerjasama dengan SK Simpang Enterprise dalam usaha untuk menjayakan satu projek tapak menjual dan pameran produk perlancongan negeri Perak yang pertama seumpamanya di Ipoh.
Menurut Pengerusi Tourism Perak Management Berhad,Datuk Mohamad Kamil Shafie menyifatkan penganjuran program sebegini merupakan satu inisiatif baik dengan melibatkan kerjasama kelab dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Ia satu langkah yang baik dalam mempromosikan produk yang terkenal di negeri ini dan sudah pastinya pemilihan produk yang dijual adalah yang berkualiti dan sudah terkenal di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Majestic Walk di sepanjang koridor Stesen Keretapi Tanah Melayu Ipoh hari ini.
Turut hadir Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang Norali Nordin.
Katanya lagi, ia juga merupakan satu usaha mempromosikan produk tempatan bersempena tahun melawat Perak 2017 kali ini.
“Pihak tourism mengalukan-alukan program sebegini yang dapat menghasilkan perniagaan kepada para peniaga tempatan mengetengahkan keunikan produk di negeri ini,” katanya.
Terdahulu tapak Majestic Walk menyediakan 10 gerai pelbagai produk tempatan antaranya seperti Yee Hup,Pagoda,Wei Jiang,CB Biscuit dan Kong Xi White Coffee yan dibuka kepada umum setiap hari.