Jenayah

Maklum Kargo Nerharga Elak Lanun – APMM

MIRI: Syarikat perkapalan tempatan yang membawa muatan berharga dan belayar di laluan berisiko serangan lanun dikehendaki melaporkan lebih awal jadual perjalanan kapal masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata, laporan itu boleh dibuat kepada pihak APMM di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan APMM mengawasi pergerakan atau perjalanan kapal terbabit terutamanya di kawasan yang kerap berlaku serangan lanun.

“Langkah itu akan dapat mengelakkan syarikat perkapalan tempatan mengalami kerugian besar apabila berlaku insiden rompakan lanun,” katanya, menurut laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden terbaharu rompakan lanun membabitkan kerugian RM18.5 juta di perairan Singkawang, Indonesia, petang Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, lanun bersenjatakan parang menahan 10 kru kapal dan tongkang yang membawa muatan minyak sawit berjumlah 3,700 tan yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Butterworth, Pulau Pinang.

Mohd Taha berkata, jika APMM mengetahui perjalanan sesebuah kapal yang membawa muatan berharga, kapal itu boleh diawasi dengan mudah.

Katanya lagi, susulan beberapa kejadian yang berlaku terhadap kapal syarikat yang sama, APMM Wilayah Sarawak mewujudkan saluran komunikasi khas dengan syarikat berkenaan supaya bantuan boleh dihantar dengan segera.

“Malangnya dalam kejadian Rabu lalu, saluran komunikasi khas itu tidak digunakan untuk memaklumkan atau mendapatkan bantuan APMM lebih awal,” katanya.

Sejak 2016, APMM sudah memulakan langkah proaktif bekerjasama dengan syarikat Perkapalan Orkim Sdn Bhd, pemilik kapal MT Orkim Harmony yang pernah mengalami rompakan pada tahun 2015.

“Berdasarkan statistik semasa, jumlah kapal dan bot yang melalui perairan negara kini semakin meningkat dengan lebih 80,000 kapal atau bot melalui Selat Melaka.

“Perairan Sarawak pula dilalui lebih 20,000 kapal dan amat mencabar bagi APMM untuk untuk mengawasi semua pergerakan pengangkutan air itu sepanjang masa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");