Jenayah

Marah Bekas Isteri, Lelaki Dera Anak Kandung

KOTA BHARU:Berikutan rasa tidak berpuas hati terhadap bekas isteri, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun didera bapa kandungnya sendiri, Sabtu lalu.

Difahamkan kanak-kanak tersebut telah dicucuh dengan api rokok dan kulitnya ditoreh guna pisau.

Mangsa, Khairunisa Mohd Safizam yang kini trauma diperlakukan sedemikian selepas bapanya berpisah dengan ibunya sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan, bapa kanak-kanak itu mahu rujuk dengan ibunya namun permintaannya ditolak.

Susulan tidak berpuas hati dengan keputusan bekas isterinya, suspek menjadikan mangsa tempat melepaskan kemarahannya.

Mangsa juga tidak dihantar ke sekolah sejak sebulan lalu dan sering didera bapanya selain dibiarkan kelaparan.

Ibunya, Nurul Hazwani Shahferi, 27, berkata, setelah berpisah dengan suaminya sejak tiga bulan lalu, Khairunnisa dan anak keduanya tinggal bersama lelaki itu.

“Sebelum ini bekas suami tidak pernah bertindak demikian dan hanya lepaskan marah dan tidak pernah pukul anak.

“Namun selepas bercerai, dia bertindak agresif kerana anak sulung, Khairunnisa mempunyai wajah seiras saya.

“Kerana hajatnya tidak dituruti, dia sanggup mendera anaknya sendiri tanpa belas kasihan dan mengugut saya akan cederakan anak, jika saya terus berdegil,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Nurul Hazwani berkata, tidak tahan dengan perangai bekas suami selepas mengetahui anak sulungnya didera, dia terus membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian dan bersama pihak polis dia terus ke rumah lelaki itu untuk mengambil Khairunnisa.

“Memang perbuatannya melampau, kerana marahkan saya dia sanggup dera anak sendiri. Di mana kasih sayang seorang ayah kepada anak? Sanggup memperlakukan anak kandung sedemikan rupa.

“Apapun saya serahkan kes ini kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan dan menurutnya suspek ditahan reman dan kes disiasat untuk tindakan susulan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");