KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu maut dalam timbunan bijih besi selepas treler dipandunya yang membawa muatan itu terjunam 20 meter ke gaung berhampiran Santuari Gajah di Jalan Aring – Hulu Terengganu, semalam.
Mangsa, B Jeganathan, 35, dari Shah Alam, Selangor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Berang mengambil masa lebih tiga jam untuk mengesannya.
Menerusi laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Daud, berkata operasi mencari mangsa mengambil masa agak lama berikutan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan cangkul untuk mengesan kedudukan mangsa.
Katanya, mangsa ditemui dalam timbunan muatan bijih besi dibawa treler terbabit kira-kira jam 7.30 malam dan disahkan sudah meninggal dunia.
“Berdasarkan maklumat, treler dipandu mangsa dipercayai terbabas ketika menuruni bukit di laluan terbabit dan merempuh besi penghadang jalan lalu terjunam ke dalam gaung terbabit.
“Mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya, manakala polis sedang berhubung dengan majikan mangsa bagi memperoleh butiran lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.