Berita Hari Ini

Mekanisme Stabil Harga Jika Cecah RM2.50 Seliter

IPOH – Mekanisme bagi menstabilkan harga bahan bakar khususnya RON95 dan diesel akan diumum apabila ia mencecah RM2.50 seliter.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata mekanisme atau langkah itu akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

Tanpa menyatakan mekanisme tersebut, beliau berkata kerajaan telah menetapkan sekiranya harga RON95 naik sehingga RM2.50, itu adalah had maksimum.

“Kerajaan sedang mengkaji mekanisme dan ia belum lagi finalised (muktamad), terdapat dua atau tiga opsyen.

“Kita akan mengkaji perkara ini secara mendalam kerana kita tidak mahu rakyat kata ada cliches (klise) dalam implementasi nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Gemilang Akademik Sekolah Kebangsaan Convent di sini, hari ini.

Mohd Irwan Serigar berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan sentiasa memahami kehendak mereka dalam menentukan harga runcit bahan bakar di pam minyak.

“Kerajaan akan mencari jalan untuk memberi balik kepada rakyat, bagaimana kita boleh menampung kos beban hidup mereka,” katanya.

Pada Isnin lepas, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak mentah dunia sekiranya harga runcit produk RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Menurut kementerian tersebut, langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Ketika ini, harga bagi seliter petrol RON 95 adalah RM2.38, manakala bagi RON 97 serta diesel, masing-masing RM2.66 dan RM2.25. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");