Isu Panas

Mengapa Defisit Bajet Selangor 2018 Sampai 26%?

SHAH ALAM – Peruntukan keseluruhan Bajet Selangor 2018 seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berjumlah RM3.12 bilion, tetapi dengan defisit RM820 juta atau kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan bajet tersebut.

Jumlah defisit Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Negara baru-baru ini cuma pada kadar 14 peratus daripada keseluruhan peruntukannya.

Walhal, pembangkang termasuk Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini bersungguh-sungguh mengkritik Kerajaan Persekutuan kerana membentangkan bajet defisit di Dewan Negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, perkara itu sangat menghairankan kerana ia jelas membuktikan sikap hipokrit pembangkang yang cuma pandai bermain dengan kata-kata untuk mengelirukan rakyat selama ini.

“Apa yang menghairankan, pada saat pemimpin pembangkang mengkritik pentadbiran Persekutuan kerana membentangkan bajet defisit minggu lalu, Kerajaan Selangor juga membuat perkara sama.

“Malah dari kadar peratusan, jumlah defisit yang perlu ditanggung adalah jauh lebih tinggi dari defisit tanggungan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Budiman mempersoalkan sama ada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan membangkitkan bajet defisit itu dalam perbahasan Bajet 2018 negeri Selangor minggu hadapan seperti yang dilakukannya dalam Dewan Negara.

“Jelasnya tindakan mereka mengkritik bajet defisit Kerajaan Persekutuan terpalit ke muka mereka sendiri. Jelasnya tindakan adalah suatu yang hipokrit,” tegasnya.

Rumah Felda
——————-

Selain itu, kata beliau, Mohamed Azmin dalam pembentangan Bajet 2018 negeri Selangor berjanji untuk membina 136 unit rumah berkembar setingkat berhampiran Felda Sungai Tengi Selatan.

Beliau mengingatkan bahawa perkara itu sebenarnya pernah dijanjikan oleh Mohamed Azmin pada Januari 2016 iaitu ketika lawatan beliau ke Felda tersebut.

“Hanya selepas hampir dua tahun dan semakin hampir kepada pilihan raya umum, barulah kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor cuba memberi komitmen.

“Untuk rekod, kerajaan persekutuan menerusi Felda sememangnya sedang giat membina rumah generasi ke-2 Felda di seluruh negara. Tetapi apa yang mengecewakan di negeri Selangor ini, memandangkan isu tanah adalah di bawah kuasa negeri, kerajaan Selangor telah sekian lama menafikan permohonan dari Felda ini,” katanya.

Pendidikan Percuma
—————————–

Dalam pada itu, Budiman berkata, dalam bajet alternatif 2018 oleh pembangkang sebelum ini menjanjikan pendidikan percuma sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sangkaan bahawa kerajaan Selangor akan menjadi negeri contoh dan yang pertama melaksanakan pendidikan percuma tidak langsung terbayang dalam bajet yang diumumkan Menteri Besar ini.

“Secara tidak langsung, ia membuktikan perkara ini adalah suatu imaginasi melampau yang sukar untuk dilaksanakan.Kesimpulannya, segala tohmahan kononnya Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan bersifat gula-gula PRU-14 akhirnya terpercik ke muka mereka sendiri.

“Azmin Ali jelas terdesak mencipta imej populis, cuba lari dari bayangan Tan Sri Khalid Ibrahim serta cekap bermain dengan silat kata-kata,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");