Sukan Hari Ini

Noraseela Harap Isu Saman ISN Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Atlet Malaysia, Noraseela Khalid berharap isu yang membabitkan kes saman antara tiga atlet menembak dan Institut Sukan Negara (ISN) dapat diselesaikan di luar mahkamah.

Katanya sebagai wakil Suruhanjaya Atlet Malaysia, beliau hanya boleh mendengar dan memberi pendapat selain mengusulkan perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM), lapor BH Online.

Pada 30 Oktober lalu, tiga atlet menembak negara iaitu Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi memfailkan saman bagi membersihkan nama mereka di Mahkamah Kuala Lumpur.

Trio menembak itu memfailkan saman bagi tujuan membersih nama mereka selain menuntut keadilan selepas digugurkan daripada program podium dan tidak terpilih ke temasya Sukan SEA (KL 2017), Ogos lalu susulan masalah disiplin.

Perkara itu disahkan oleh peguam bela Azlan Mashod selepas menyerahkan writ saman berkenaan kepada mahkamah.

Bagaimanapun Noraseela tidak dapat menghalang tindakan ketiga-tiga atlet berkenaan sekiranya berasakan bahawa tindakan membawa perkara itu ke mahkamah adalah sebagai jalan penyelesaian terbaik.

“Tugas suruhanjaya atlet adalah untuk memberikan bantuan dan juga nasihat yang diperlukan oleh mana-mana atlet.

“Jika atlet berdepan dengan masalah, mereka boleh merujuk kepada suruhanjaya ini sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Suruhanjaya Atlet Malaysia ditubuhkan pada 2009 namun tidak aktif dan ia dihidupkan kembali pada 2015.

Noraseela yang juga bekas atlet 400 meter lari berpagar dan pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Doha 2006 ketika dihubungi turut mengulas mengenai senario sukan negara yang boleh mengundang persepsi negatif kepada masyarakat luar.

Menurutnya, Majlis Sukan negara (MSN) perlu memainkan peranan memantau atlet kerana mereka adalah badan induk yang paling dekat dengan atlet.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");