Isu Panas

Pas Diibarat Seperti ‘Dinasour’ Dalam Politik

SHAH ALAM – Sikap tegas yang cuba ditonjolkan oleh Pas untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang PRU14 memperlihatkan strategi parti itu masih kuat.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Univeriti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, biarpun mahu dilihat kuat dan agresif, tetapi hakikatnya Pas memerlukan rakan strategik dan tidak boleh bergerak sendirian.

“Pas perlu sedar, mereka sudah banyak kehilangan sokongan daripada orang muda khususnya di bandar-bandar.

“Ini kerana kebanyakan orang muda yang dahulunya ‘setia’ bersama Pas kini bertukar kepada Parti Amanah Nasional (Amanah) yang umum tahu merupakan parti serpihan dari Pas,” katanya kepada Sinar Online.

Tidak hanya itu, beliau berkata, Pas juga semakin kehilangan sokongan dari pantai barat iaitu dari Perlis hingga Johor.

Susulan perubahan itu katanya, Pas perlu mencari rakan untuk mengukuhkan diri mereka dalam senario politik semasa.

“Saya lihat, ini adalah strategi Pas untuk menampakkan mereka masih kuat. Hakikatnya tidak.

“Walaupun tidak bekerjasama, tetapi mereka perlu mengambil jalan damai. Jika Pas terus berdegil dan konservatif, lebih ramai yangt menarik diri dari bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata, jika berlaku perkara sedemikian, Pas boleh dianggap sedang mengalami risiko kepupusan.

“Jadilah Pas seperti dinasour politik di mana nampak kuat, tulang yang kuat, tetapi tiada jasad dan roh.

“Mereka hanya akan menonjol dalam liputan akhbar, media tetapi mereka tidak akan ada lagi kerusi-kerusi strategik di negeri-negeri terutamanya di pantai barat,” katanya.

Md Shukri berkata, sudah tiba masanya Pas memilih untuk bekerjasama demi memastikan survival politik mereka akan terus diterima di semua tempat.

“Orang muda akan lebih memilih Amanah kerana merasakan ia adalah alternatif dalam Pakatan Harapan (Harapan) jika tidak mahu bersama Pas lagi.

“Kesetiaan orang muda serta ahli dalam Pas sendiri boleh diragui. Kerana itu, Pas perlu mencari rakan strategik agar mereka akan terus relevan,” katanya.

Menurutnya, secara jelas, musuh utama Pas adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerana itulah Pas tidak boleh bersama Harapan.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan tegas menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana politik.

“Ia juga secara jelas sebagai usaha meyakinkan ahli-ahli Pas, keputusan itu adalah terbaik,” katanya.

Beliau berkata, dengan penolakan itu, Pas dapat menutup kelemahan dan kegagalan parti itu kerana tidak mahu menjalin kerjasama dengan mana-mana parti.

Terdahulu, Abdul Hadi menerusi kenyataan media berkata, Pas lebih selesa untuk menjadi pihak yang berkecuali dalam mendepani krisis keyakinan rakyat menjelang PRU14 dan tidak boleh bersama Harapan.

Beliau berkata, ini kerana di dalam Harapan ada pemimpin penyangak, yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak menyebut pemimpin yang dimaksudkannya itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");