Berita Hari Ini

Perjuangan Tun Hussein Onn Masih Relevan

KUALA LUMPUR: Prinsip perjuangan yang dipegang Perdana  Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn ketika memimpin negara masih relevan untuk diguna pakai dalam  pembangunan negara selaras dengan ????Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Allahyarham bapanya itu  komited melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan melebihi diri  sendiri, meletakkan perpaduan sebagai teras kejayaan negara, bangsa dan sentiasa memastikan kedudukan Malaysia setanding dengan negara luar.

“Ketiga-tiga perkara ini penting dan dilihat relevan hari ini dalam konteks menuju ke arah negara maju dan TN50 dari segi kesungguhan, kejujuran, integriti dan komitmen ketika melaksanakan amanah, perpaduan dengan dunia yang semakin mencabar  berikutan pelbagai isu yang boleh memecah belah kedudukan Malaysia dalam dunia tanpa sempadan,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bangunan  Memorial Tun Hussein Onn (MTHO) di sini hari ini daripada pihak kontraktor  kepada Arkib Negara yang turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz.

Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata bangunan ikonik baharu MTHO di Bukit Perdana yang menerapkan teknologi hijau itu melambangkan keperibadian  Allahyarham sebagai Bapa Perpaduan  negara.

“Seni bina moden yang berterapkan nilai kesederhanaan ini turut mencerminkan  keperibadian ayahanda saya. Saya dan keluarga berterima kasih kepada kerajaan dan pihak terlibat dalam usaha mengenang arwah dalam memorial yang cukup istimewa ini dan ia merupakan hadiah yang menyentuh kami sekeluarga.

“Saya berharap memorial ini akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama bangunan Memorial Negarawan yang turut terletak bersebelahan bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman ini,” katanya.

Sementara itu, Azemi berkata, bangunan ikonik empat tingkat yang bernilai kira-kira RM39 juta bagi menggantikan bangunan asal MTHO di Kompleks Bukit Perdana itu menjadi bangunan hijau pertama bagi Arkib Negara yang mendapat pengiktirafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“MTHO ini dibina pada Julai 2015 dan siap sepenuhnya 13 Sept lalu yang mana  terbahagi kepada  beberapa galeri yang menempatkan barangan peribadi milik  Allahyarham Tun Hussein Onn dan konsep  pameran MTHO ini adalah berdasarkan peristiwa mengikut kronologi dari awal termasuk era kepimpinan Tun sebagai  perdana menteri hingga ke akhir hayat beliau,” katanya.

Azemi berkata, MTHO dibuka setiap Selasa hingga Ahad kepada orang awam mulai esok dari 9 pagi hingga 5 petang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");