Perak Hari Ini

Pilih Pemimpin Yang Faham Rakyat, Bukan Yang Beretorik: TPM

SUNGAI SIPUT: Masyarakat India digesa untuk memilih pemimpin yang mampu mengetengahkan isu mereka di peringkat nasional dan bukannya pemimpin yang hanya tahu beretorik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah satu kerugian besar jika rakyat khususnya masyarakat India, tidak memilih pemimpin yang benar-benar mengerti setiap denyut nadi mereka.

 

“Di peringkat kerajaan, keprihatinan kepada masyarakat India sentiasa diterjemahkan melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Malah beliau sendiri mendapat jolokan ‘Bapa Pembangunan Masyarakat India’.

“Justeru itu, tentulah kita berharap agar masyarakat Sungai Siput dapat memilih pemimpin yang dapat membantu mereka dan membawanya ke Parlimen,” katanya.

 

Tambah beliau, calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Sungai Siput ini nanti bukan sahaja dalam kalangan anak tempatan malah ianya juga merupakan calon yang boleh bekerja untuk rakyat.

“Berubahlah sekarang supaya kita dapat membangunkan Sungai Siput, Negeri Perak dan seterusnya negara,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga berkata kewujudan Pelan Induk ataupun Blueprint untuk pembangunan masyarakat India cukup membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib mereka supaya dapat membangun bersama-sama kaum lain.

 

Pada masa sama, senada dengan beliau, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat India.

“Melalui pembentangan bajet yang baru-baru ini, banyak keistimewaan diberikan kepada lapisan kaum India.

“Saya berharap apa yang telah diusahakan ini mendapat sokongan masyarakat, supaya dapat diteruskan lagi beberapa inisiatif pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2017 di Ladang Infoternak, dekat sini, pada Sabtu.

 

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");