Jenayah

Polis Lepaskan Tembakan Suspek Langgar MPV Polis

TASEK GELUGOR – Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki tiga lelaki kerana melanggar kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kejadian di Kampung Selamat, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Nor berkata dalam kejadian 3 petang itu, polis mendapat maklumat daripada penduduk memaklumkan terdapat sebuah kereta jenis Honda Odyssey dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Dua anggota polis telah dihantar ke lokasi kejadian dan pemeriksaan awal mendapati nombor pendaftaran kereta yang dinaiki tiga lelaki berkenaan adalah palsu.

“Polis menghampiri kereta suspek dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa tetapi tidak diendahkan oleh mereka dan secara tiba-tiba pemandu kenderaan terus melanggar kereta PDRM berulang kali,” katanya, di sini hari ini.

Katanya kereta suspek juga cuba melanggar polis namun anggota itu sempat menyelamatkan diri serta melepaskan dua das tembakan bagi mempertahankan diri dan satu daripada tembakan tersebut terkena bonet kenderaan suspek.

Noorzainy berkata suspek terus memecut kereta ke arah ladang kelapa sawit dan meninggalkan kenderaan itu di situ sebelum melarikan diri.

“Hasil tindakan pantas polis berjaya menahan seorang daripada tiga lelaki itu dan usaha mengesan dua lagi rakannya yang telah dikenal pasti identiti mereka giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang ditahan itu mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah lain dan dia kini direman untuk siasatan lanjut.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif sebenar mereka berada di kawasan itu tetapi tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan jenayah.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta Honda Odyssey yang digunakan dalam kejadian itu adalah kenderaan curi dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");