Berita Hari Ini

PPIM Tuntut Keadilan Jemaah Haji Rugi RM1.6 Juta

KUALA LUMPUR – Seramai 35 orang bakal jemaah haji gagal menjalani ibadah itu gara-gara ditipu konon bakal menggunakan pakej ‘VIP’ sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM1.6 juta.

Kumpulan jemaah tersebut dilaporkan telah mengeluarkan kos yang tinggi tetapi mereka akhirnya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana masalah visa dan tiket penerbangan.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mangsa menggunakan visa khas haji (FURADA) yang dibeli secara terus daripada Arab Saudi dan tidak melalui pihak Tabung Haji (TH).

Justeru, Nadzim berpendapat penglibatan pihak TH dalam kawal selia jemaah yang akan mengerjakan haji dan umrah sangat perlu walaupun jemaah menggunakan pakej VIP serta menggunakan visa FURADA.

“Kena ada penyelarasan. Siapa sahaja yang nak pergi haji, apa jenis visa sekali pun, kena selaras. Perlu juga ada suruhanjaya kawal selia haji,” ujarnya sambil memberi cadangan tersebut.

Tambah Nadzim lagi, pihak TH sepatutnya juga boleh dihubungi oleh para jemaah sebelum tarikh penerbangan bagi memastikan tiada masalah yang timbul pada hari perlepasan ke Tanah Suci.

“Pihak Tabung Haji boleh menyediakan satu hotline sebagai platform perantara dengan bakal jemaah untuk membantu para jemaah.

“Tindakan undang-undang akan diambil daripada pihak PPIM dan akan melakukan lawatan ke pejabat operasi syarikat tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, Mazlina Abu Bakar yang juga Aktivis PPIM menyatakan syarikat tersebut tidak mempunyai lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) atau lesen umrah dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Kita mohon pihak TH agar segera campur tangan untuk kawal selia visa VIP ini,”jelasnya.

Kesemua 35 bakal jemaah dilaporkan sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada September lalu, namun hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana tidak mempunyai tiket penerbangan walaupun mempunyai Visa FURADA.

Dalam pada itu, Panel Perundangan PPIM, Mohammad Siddiq Azani mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu akta atau suruhanjaya sebagai prosedur yang formal bagi melancarkan urusan haji dan umrah.

“Mungkin kerajaan boleh mewujudkan satu akta atau suruhanjaya khas untuk mengawal selia semua jemaah haji dan umrah di Malaysia.

“Syarikat-syarikat swasta yang mengendalikan pakej umrah dan haji perlu membeli satu insurans. Jika berlaku sesuatu, para jemaah sekurang-kurangnya boleh menuntut insurans.

“Jika tidak, mungkin khaskan haji dan umrah milik Tabung haji sahaja melainkan syarikat-syarikat yang ingin menguruskan urusan tersebut mempunyai insurans,”cadangnya.

Dilaporkan setiap mangsa kerugian sekurang-kurangnya RM50,000 dan telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas Syarikat Hj. Harun Seh Umrah & Tours Sdn Bhd. – MYNEWSHUB.CC/SA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");