Berita Hari Ini

Prestasi Calon UPSR Dapat Semua A Meningkat

PUTRAJAYA: Prestasi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang keputusan semua A dalam mata pelajaran pada tahun ini meningkat kepada 8,958 calon berbanding 4,896 calon sahaja pada tahun 2016.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, pencapaian calon UPSR tahun ini memberi fokus kepada tahap penguasaan minimum iaitu calon pencapaian sekurang-kurangnya gred D dalam semua mata pelajaran.

Katanya, jika dibandingkan dengan peratusan pencapaian tahun lalu, peratusan calon yang mencapai penguasaan tahap minimum meningkat sebanyak 1.6 peratus iaitu seramai 293,514 (68.1 peratus) pada tahun 2017 berbanding 293,184 (66.5 peratus) pada tahun 2016.

“Peratusan calon yang belum mencapai tahap minimum iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu gred E turun sebanyak 0.9 peratus iaitu 30.2 peratus pada tahun 2017 berbanding 31.1 peratus pada tahun 2016,” katanya pada sidang media mengenai Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), semalam, menurut MalaysiaGazette.

Menurut Amin, peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum iaitu gred E dalam semua mata pelajaran turun sebanyak 0.7 peratus iaitu 1.5 peratus pada tahun 2017 berbanding 2.2 peratus pada tahun 2016.

Pada tahun ini, seramai 443,794 orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR.

Daripada jumlah itu, 433,536 atau 97.7 peratus adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan manakala 10,258 (2.3 peratus) adalah calon sekolah swasta.

UPSR telah dijalankan pada 11 hingga 14 dan 18 September lalu di 8,085 pusat peperiksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Amin berkata, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 merumuskan murid darjah enam tahun ini secara keseluruhannya menunjukkan pencapaian baik.

Katanya, keempat-empat elemen diambil kira dalam PPSR menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Mengenai Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Amin berkata, prestasi yang baik dan kepujian dalam aktiviti kokurikulum ditunjukkan oleh sebilangan besar murid iaitu 24,612 memperoleh gred A, (302,018 gred B), (100,331 gred C), (10,598 gred D) dan 637 murid mendapat gred E.

“Bagi ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (Segak), sebanyak 40,957 murid berada pada tahap kecergasan sangat tinggi.

“Manakala bagi ujian Indeks Jisim Badan (BMI) memperlihatkan 268,314 murid mempunyai badan normal dan 58,294 murid pula mempunyai berat badan berlebihan,” katanya.

Selain UPSR dan PAJSK, dua elemen lain yang diumumkan dalam PPSR ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) selain Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PPSR) untuk murid berkeperluan khas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");