Berita Hari Ini

Program 1 Rumah 1 Juara’ Tangani Denggi

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah hari ini melancarkan ‘Program 1 Rumah 1 Juara’ dalam usaha menangani masalah pembiakan nyamuk aedes di bandar raya ini.

Program itu menyasarkan penyertaan penduduk di beberapa kampung terpilih sebagai usaha membanteras tempat berisiko pembiakan nyamuk aedes terutama di lokasi berpotensi lokaliti wabak denggi.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, berkata matlamat utama penganjuran program itu adalah mewujudkan kumpulan masyarakat atau sukarelawan khususnya ketua isi rumah sebagai penggerak utama usaha mencari dan memusnahkan nyamuk aedes terutama di kawasan kediaman masing-masing.

Selain itu, katanya, sukarelawan terbabit akan membantu pihak jabatan menjalankan aktiviti promosi kesihatan berkaitan denggi.

“Kita akan memberi latihan dan kemahiran kepada mereka dalam aspek pencegahan denggi serta komunikasi bagi membolehkan mereka melaksanakan aktiviti cari dan musnah, selain menyebarkan maklumat berkaitan aedes dan demam denggi.

“Saya yakin menerusi latihan diberikan, keupayaan dan kemahiran semua ketua isi rumah serta ahli keluarga dapat ditingkatkan sekali gus memupuk kesedaran mengenai bahaya nyamuk aedes.

“Sesiapa berminat boleh pergi pejabat kesihatan berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya pada Majlis Pelancaran Program 1 Rumah 1 Juara di Dewan Serbaguna Likas, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV) Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Koay Teng Koon.

Program itu dianjurkan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Jabatan Kesihatan Sabah yang mana ketua isi rumah mendaftar menjadi sukarelawan bagi menyertai aktiviti mencegah aedes dan denggi.

Lebih 300 penduduk kampung sekitar bandar raya ini hadir memeriahkan program yang disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Sementara itu, Boon Hai berkata, pembabitan isi rumah dalam aktiviti pencegahan penting bagi memastikan kediaman masing-masing bebas daripada menjadi tempat pembiakan aedes.

Katanya, cara terbaik menangani masalah nyamuk aedes adalah bermula daripada rumah kerana apabila ketua isi rumah menjadi sukarelawan dalam ‘Program 1 Rumah 1 Juara’, dia pasti mampu mendidik ahli keluarga lain berkaitan masalah ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");