Berita Hari Ini

PRU Palestin Diadakan Pada Akhir 2018

GAZA – Pemimpin puak bertelagah dan kuasa politik Palestin, yang berkumpul di Kaherah selama dua hari, pada Rabu bersetuju mengadakan pilihan raya umum menjelang akhir 2018, lapor agensi berita China Xinhua.

Mereka membuat keputusan itu selepas mengadakan dialog pada petang Rabu.

Pergerakan Hamas dan Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas serta beberapa puak lain turut menegaskan kepentingan pelaksanaan sepenuhnya perjanjian damai Hamas-Fatah yang dicapai pada Oktober atas usaha Mesir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada akhir dialog dua hari itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat serta semua pihak berkaitan digesa menyelesaikan semua persiapan bagi mengadakan pemilihan presiden dan perundangan serta Majlis Nasional selewat-lewatnya pada akhir 2018.

Kenyataan itu turut meminta Presiden Abbas menetapkan tarikh pilihan raya tersebut selepas mengadakan rundingan dengan semua puak bertelagah dan kuasa politik di peringkat nasional.

Ia menegaskan keperluan “untuk melaksanakan semua peruntukan perjanjian damai secara terperinci dan tepat bagi menjalankan tanggungjawab penuh dan tugas-tugas kerajaan konsensus.”

“Peserta dialog turut menekankan keperluan untuk mempercepat langkah membangun dan mengaktifkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengikut Deklarasi Kaherah,” kata kenyataan itu lapor Bernama.

Kali terakhir pilihan raya parlimen berlangsung di wilayah Palestin ialah pada 2006, yang menyaksikan pergerakan Hamas menewaskan Parti Fatah pimpinan Abbas, yang dilantik sebagai presiden negara itu pada 2005.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");