Berita Hari Ini

Rohingya: Perjuangan Malaysia Mula Berhasil

MANILA – FILIFINA. Myanmar telah menyatakan komitmen awal dan langkah yang sedang diambil oleh kerajaan tentera negara itu dalam menyelesaikan krisis Rohingya di wilayah Rakhine pada Sidang Kemuncak Asean ke-31 di sini hari ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu berkata demikian ketika beliau membangkitkan isu Rohingya pada sidang pleno Asean itu.

“Bila saya bangkitkan isu Rohingya, Suu Kyi dalam respons beliau telah menyatakan beberapa perkara yang sedang dilakukan Myanmar…ini penting kerana beliau tidak menyatakan apa-apa langsung pada sidang lalu di Manila pada April lepas,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini.

Najib berkata Myanmar kini sedang berunding dengan Bangladesh, yang menjadi tumpuan lebih 600,000 pelarian sejak krisis ini bermula Ogos lalu, bagi mengadakan satu memorandum persefahaman (MoU) untuk menentukan penghantaran balik pelarian tersebut dari sempadan kedua-dua negara.

“Beliau nyatakan MOU ini akan ditandatangani tidak lama lagi. Saya terima baik apa yang dinyatakan oleh beliau, namun kita nak tengok soal MoU itu dan syarat-syarat penghantaran balik, sama ada munasabah atau terlalu ketat,” katanya.

Najib berkata jika syarat syarat terlalu ketat yang menyebabkan dari realitinya ia tak benarkan terlalu ramai pulang semula ke Rakhine, ia mungkin tidak memberi penyelesaian sepenuhnya seperti yang dikehendaki Malaysia dan negara-negara Asean lain.

Selain menyuarakan isu pelarian Rohingya di peringkat antarabangsa dan memberikan bantuan kemanusiaan, Malaysia juga akan menyediakan Hospital Lapangan untuk etnik Rohingya di Bangladesh.

Najib juga berkata Suu Kyi pada sidang pleno itu telah menyatakan kesediaan kerajaan beliau untuk memberi kerjasama kepada misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Rohingya yang masih berada di Rakhine.

Pemenang Hadiah Nobel itu juga telah menyatakan perlunya satu penyelesaian jangka panjang berdasarkan “kepercayaan dan keharmonian” tetapi menegaskan ia tidak boleh dicapai semalaman kerana ia akan mengambil masa, tambah beliau.

Ia akan mengambil kira dan berpaksikan laporan mantan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBBB) Kofi Annan yang telah menyerahkan laporan terakhirnya mengenai negeri Rakhine, di mana Rohingya Islam menghadapi pelanggaran yang meluas, kepada pemerintah Myanmar.

“Semua ini merupakan kemajuan yang signifikan…beliau beri satu pendirian dan jaminan lebih jelas dan positif daripada forum Asean sebelumnya,” katanya.

Najib berkata beliau memberitahu pemimpin Asean lain bahawa Malaysia dan Asean sebagai sebuah pertubuhan tidak mampu berdiam diri terhadap krisis ini kerana ia telah memalukan blok serantau itu dan telah menjadi isu antarabangsa sehingga Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan kenyataan presiden.

“Saya kata sebagai satu pertubuhan, kita tak mampu berdiam diri, tak boleh berdiam diri. Apa respons Asean terhadap krisis yang melibatkan Rohingya di Rakhine ?,” katanya.

Katanya, ia bukan hanya masalah Myanmar semata-mata kerana kesannya melimpah keluar, sehinggakan penduduknya menjadi pelarian di Malaysia dan Bangladesh.

Lebih membahayakan, kata beliau, mereka yang kecewa mungkin menjadi rekrut kepada kumpulan pengganas seperti IS dan Daesh jika tiada penyelesaian cepat dicapai lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");