Perak Hari Ini

Runtuh Negara Kerana Kelalaian Pemerintah-Sultan Perak

KUALA KANGSAR:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah bahawa keruntuhan sesebuah negara, berpunca daripada kelalaian pemerintah memenuhi keperluan rakyat, serta disebabkan oleh kegagalan pemerintah menyeru ke arah yang makruf serta kelemahan di pihak pemerintah dalam mencegah kemungkaran.

Titah baginda, Islam menegaskan bahawa pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang; dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang.

“Hasrat mahukan sistem pemerintahan yang adil dan saksama telah mendorong kepada tertubuhnya pelbagai gerakan berunsur militan di serata dunia, bertujuan menubuhkan Daulah Islamiah atau negara Islam.

“Negara Islam tidak akan terbentuk melalui kegiatan militan, yang melakukan pelbagai kekejaman, mengebom, membunuh, mencolek, dan mencederakan insan-insan yang tidak berdosa.

“Negara Islam tidak terbentuk, dengan melabelkan perkataan Islam kepada nama negara. Negara Islam juga tidak terbentuk, semudah menyelitkan elemen-elemen Islam di dalam sistem perundangan dan Perlembagaan Negara.

“Negara Islam akan dapat terjelma, apabila negara diurus tadbir oleh pemerintahan yang berupaya melakukan amal makruf dan bersungguh-sungguh menegah kemungkaran,” titah baginda pada Majlis Istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang,dan pingat Anugerah Kerajaan Negeri Perak di di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Titah baginda, Negara Islam akan dapat dibentuk, apabila rakyatnya hidup dalam suasana damai lagi rukun, saling bekerjasama – saling menghormati; bersatu dan berpadu mempertahankan kedaulatan watan, meluhurkan perlembagaan negara serta mendaulatkan undang-undang, bersih daripada rasuah, tidak menyalah guna kuasa.

Selain, berlakunya pengagihan kekayaan secara adil lagi saksama, hingga tiada lagi rakyat yang miskin, serta negara dikurniakan rahmat keamanan dan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.

“Negara Islam akan terjelma apabila pemerintah dan pemimpin dapat menghayati sifat-sifat terpuji seperti yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang berakarkan semangat berkhidmat – semangat berkorban, sama sekali tidak mahu diberikan sebarang keistimewaan; sama sekali tidak meletakkan diri lebih mulia daripada orang lain; teguh berpendirian bahawa kemuliaan itu hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala;

“Keadilan adalah faktor yang menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin. Sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah (SAW), tidak hanya dinikmati oleh umat Islam, malah keadilan dipastikan turut dinikmati oleh bukan Islam,”titah baginda lagi.

Titah Baginda Rasulullah telah berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati dan mahu didampingi, dan bukan Islam yang ditakuti dan mahu dijauhi.

“Baginda telah meninggalkan sebaik-baik modul pemerintahan terutama keberkesanan mengurus konflik dan mengendalikan perselisihan antara agama antara kaum.

“Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial dengan menginsafi bahawa ALLAH (SWT) telah menciptakan dunia ini dengan penganut agama yang pelbagai,”titah Sultan Nazrin lagi.

Titah Baginda, menerusi kebijaksanaan pemimpin terdahulu, elemen-elemen yang pelbagai berjaya digabung dan dicantumkan hingga terbinanya sebuah negara Malaysia, merdeka yang berdaulat, aman makmur serta dikurniakan nikmat ILAHI dengan kekayaan hasil bumi dan terlindung daripada bencana besar dan malapetaka.

“Negara ini kita warisi berlatar belakangkan persekitaran yang warganya telah berjaya mencapai kata muafakat untuk hidup dalam semangat toleransi, menghormati perbezaan dan menerima kelainan.

“Semangat permuafakatan yang telah diasaskan dan dicapai oleh barisan pemimpin kita, ketika membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat, hendaklah terus dihormati.

“Sebarang tuntutan – sebarang perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang, demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka, yang warganya hidup berpadu, rukun lagi damai,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");