Jenayah

Saman Dua Wartawan Hiburan Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak saman fitnah yang dikemukakan dua wartawan hiburan terhadap penyanyi Shila Amzah dan bapanya, ND Lala.

Memetik laporan Sinar Harian, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas mendapati perkataan yang diucapkan defendan dalam sidang media yang diadakan di Mega Music World, Cheras  pada 24 September 2014 tidak mempunyai unsur fitnah dan merupakan komen yang berpatutan.

Mahkamah juga memutuskan tiada elemen niat jahat dibuat Shila dan bapanya selaku defendan pertama dan kedua terhadap wartawan hiburan akhbar Kosmo!, Maliah Surip, 36, dan wartawan hiburan akhbar Utusan, Mohd. Ifqdar Abdul Rahman, 35, masing-masing selaku plaintif dalam sidang media tersebut.

Mohd Firuz juga memerintahkan kedua-dua plaintif membayar kos sebanyak RM 30,000 kepada defendan.

Pada 17 Disember 2015, Maliah dan Mohd. Ifqdar  memfailkan saman itu selepas bapa penyanyi itu, ND Lala atau nama sebenarnya, Amir Hamzah Salleh mengadakan sidang media untuk menjawab persoalan para wartawan hiburan berhubung sekeping gambar dengan kapsyen mempersoalkan media Melayu yang dikatakan lebih berminat menulis gosip berbanding pencapaian artis Melayu sebelum gambar itu dimuatnaik penyanyi wanita tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, kedua-dua plantif mendakwa ND Lala bagi pihak Shila dengan niat jahat menyatakan secara lisan dan menerbitkan kenyataan fitnah serta palsu pada sidang media itu.

Sehubungan itu, plaintif menuntut injunksi agar defendan dihalang daripada mengeluarkan perkataan fitnah terhadap mereka selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah dan kos.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");