Isu Panas

Selangor Dicabar Bertindak Tegas Terhadap Dr Mahathir

TANJONG KARANG: Kerajaan Selangor dicabar bertindak tegas terhadap Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kenyataannya yang menghina bangsa Bugis.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mesti berani bertindak tegas terhadap Dr Mahathir demi menjaga maruah Sultan Selangor dan rakyat negeri ini.

“Kerajaan negeri mesti peka atas isu kemurkaan sultan, kerajaan negeri jika berani boleh melarang Tun Mahathir memberikan ceramah di Selangor, ia boleh dilakukan dengan mengeluarkan surat rasmi permintaan kerajaan negeri untuk diserah kepada polis agar permit ceramah politik beliau tidak diluluskan.

“Mohamed Azmin menjadi menteri besar selepas ia diperkenankan oleh Sultan Selangor, jadi beliau perlu lebih menjaga hati baginda sultan dari menjaga hati Dr Mahathir,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan barangan keperluan kepada tujuh warga emas yang terlantar di Kampung Raja Musa di Bestari Jaya di sini, pada Jumaat, menurut laporan Bernama.

Tambah Noh beliau juga yakin Dr Mahathir tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya pada himpunan anjuran parti-parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Okt lepas.

“Dr Mahathir seorang yang ego, dia tidak akan meminta maaf,” katanya.

Semalam Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais dalam kenyataanya berkata Sultan Sharafuddin memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir yang dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Beliau berkata berdasarkan rakaman klip video ucapan itu yang tular di media sosial, Sultan Selangor menyifatkan tohmahan serta kenyataan Dr Mahathir tersebut jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis kononnya berusul daripada golongan lanun.

Perkara itu turut mendapat reaksi Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla yang mengaku tersinggung dan berasa terhina dengan kenyataan tersebut.

Beberapa pihak yang mewakili masyarakat Bugis di Malaysia sebelum ini turut menuntut Dr Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");