Berita Hari Ini

Skim Sewa Beli PPR Jika BN Menang Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan skim sewa beli Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Memetik laporan BH Online, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata skim itu akan mendorong penghuni menjaga rumah masing-masing kerana tahu ia akan menjadi milik mereka selepas skim berkenaan tamat.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ingin menghapuskan tunggakan bayaran daripada PPR bernilai lebih RM8 juta di negeri itu, Noh berkata, kenyataan berkenaan mengelirukan rakyat.

“Saya nak tanya PPR mana yang dia maksudkan itu? Jika itu perancangannya, kenapa tidak turunkan kadar sewa kepada penghuni atau buat skim sewa beli?

“Sebagai contoh, PPR Lembah Subang 1, apabila kita ambil alih, kita akan laksanakan sewa lebih rendah dan sewa beli kerana sampai bila penghuni nak menyewa?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Cergas Ceria sempena Hari Sukan Negara dan majlis perasmian pejabat Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Selangor, di Plaza Azalea, di sini semalam.

Program turut disertai 350 ibu tunggal dari seluruh Selangor yang diketuai Pengerusi PITKM Selangor, Lizatul Akma Zulkifli.

Sementara itu, Lizatul Akma berkata, pembukaan pejabat pertubuhan itu akan memudahkan segala urusan yang membabitkan ibu tunggal di negeri ini.

“Sehingga kini, PITKM ada di 17 kawasan Parlimen, masing-masing itu ada ketua yang membantu saya memantau kebajikan ibu tunggal di negeri ini.

“Terima kasih kepada Tan Sri Noh kerana banyak membantu sehingga kami mampu membuka pejabat sendiri walaupun baru dua tahun pertubuhan ini beroperasi. Kami berjanji akan membantu lebih ramai ibu tunggal yang kurang bernasib baik,” katanya.

Katanya, seramai 3,500 ibu tunggal menyertai pertubuhan berkenaan sejak ditubuhkan pada 2015 dan beliau yakin lebih ramai akan berbuat demikian pada masa hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");