Sukan Hari Ini

Soon Kit Tenang Pencapaian Dua Beregu

KUALA LUMPUR: Walaupun masa semakin suntuk bagi membentuk gandingan mantap menjelang Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah, Februari depan namun ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit kekal tenang.

Kejohanan di Kedah itu turut menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas 2018 di Bangkok, Mei tahun depan.

Dua pasangan yang baharu dibentuk, Goh V Shem-Teo Ee Yi dan Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin masih belum dapat menghasilkan keputusan positif selepas mengharungi tiga kejohanan.

Kedua-dua pasangan itu tersingkir awal pada Terbuka Perancis, Terbuka Bitburger dan Terbuka China.

Bagaimanapun, Soon Kit tidak bimbang dengan situasi itu sebaliknya apa yang paling penting adalah peningkatan prestasi ditunjukkan mereka dalam tiga kejohanan itu.

“Kedua-dua pasangan ini bermain dengan baik, ia lebih bergantung terhadap undian mereka dalam kejohanan. Apa yang paling penting prestasi mereka ketika berdepan pasangan utama dunia.

“Mereka memerlukan masa (untuk menghasilkan keputusan positif) tapi masing-masing menunjukkan peningkatan yang baik dalam setiap perlawanan setakat ini,” kata Soon Kit.

V Shem-Ee Yi tewas pada pusingan kedua Terbuka Perancis sebelum terkandas pada suku akhir Terbuka Bitburger dan kemudian pusingan pertama Terbuka China.

Bagi Wee Kiong-Yew Sin, mereka kalah pada pusingan pertama Terbuka Perancis, suku akhir Terbuka Bitburger dan pusingan kedua Terbuka China.

Undian nyata tidak menyebelahi kedua-dua pasangan negara itu apabila mereka berdepan beregu dalam kelompok 10 terbaik dunia lebih awal.

“Bagi mereka masa, saya yakin dengan kemampuan mereka dan kami akan dapat membentuk kombinasi mantap sebelum kejohanan berpasukan Asia,” kata Soon Kit.

V Shem-Wee Kiong, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, terpaksa dipisahkan dan digandingkan dengan pemain lain selepas kemerosotan prestasi sejak awal tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");