shadow

BATU GAJAH: Dihimpit masalah demi masalah akhirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Batu Gajah terkubur dan diharap untuk selamanya.

Ketua Bahagian Penaja PPBM, Mohd Shirin Adenan mengumumkan keluar parti setelah beliau melepaskan jawatannya hari ini dan ia turut disertai ahli-ahli jawatankuasanya (AJK) dan juga ahli-ahli lain, seramai lebih 1,000 orang.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil berikutan beliau mengkritik kepimpinan PPBM Perak serta ketidakpuasan hati terhadap perlantikkan Faizal Azumu sebagai pengerusi parti tersebut.

 

“Perlantikan Faizal itu atas dasar kerana dia merupakan ‘orang Datuk Seri Mukhriz Mahathir’, benar-benar membuka mata kami bahawa PPBM (khususnya di Perak) tidaklah seperti yang kami harapkan.

“Ketiadaan pengalaman Pengerusi PPBM Perak dalam menerajui sebuah parti yang baru, selain hubunganya (antara ketua-ketua bahagian) yang sangat terbatas, membuatkan (ahli-ahli) PPM Perak tidak ubah seperti sekumpulan anak ayam yang kehilangan ibu,” katanya.

Tambah Mohd Shirin, perlantikan Faizal sebagai peneraju Pakatan Harapan Perak juga turut diragui.

“Kita tahu PPBM ni baru setahun, jadi mengapa tidak dipilih tokoh-tokoh yang lebih berpengalaman daripada Faizal dalam kalangan parti-parti sama ada DAP, PKR, mahupun AMANAH,” soalnya.

Menurutnya kepincangan kepimpina Faizal juga jelas dilihat apabila dikatakan dia bekerja dengan mengamalkan sikap memilih bulu.

 

“Di Perak, kita ada Biro Keselamatan, Sukarelawan dan Bridget Aman Negeri, yang mana, saya merupakan ketuanya dan dibawah saya ada 24 ketua.

“Andai Tun Mahathir, Mukhriz akan datang ke sini, sepatutny Faizal berbincang dengan saya bagi mengurskan perihal keselamatan.

“Namun, dia dilihat lebih selesa untuk bekerja dengan ‘kroni’ dia.

“Kalau begitu, bubarkan sahajalah biro ini,” tegasnya.

Ujarnya lagi, isu status pendaftaran ARMADA sebagai sayap parti PPBM dan isu yang ditimbulkan PPBM Johor berkeaan mesyuarat agong kali pertama yang tidak mendapat perhatian dan penjelasan yang serius dalam kalangan pucuk pimpinan tertinggi juga antara sebab beliau bertindak demikian.

Tambahnya, selepas Bahagian Parit, Gopeng, Teluk Intan, dan Kuala Kangsar, beliau tidak menolak kemungkinan akan banyak lagi Bahagian PPBM Perak yang bakal mengikut jejak langkah PPBM Batu Gajah.

Mengulas tentang hala tuju beliau dan AJK lainya selepas ini, Mohd Shirin berkata, dia akan meninggalkan dunia politik dan memfokuskan kepada perniagaannya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat PPBM Batu Gajah, Kampung Tersusun Jalan Gopeng, dekat sini.

Komen & Pendapat