Perak Hari Ini

Sultan Perak Perkenan Beri Pengampunan Dua Pesalah Dadah

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi pengampunan dan menitahkan agar dua banduan yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati yang disabit kesalahan dibawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 agar diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.

Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, hukuman tersebut berkuatkuasa mulai tarikh persidangan lembaga itu pada 12 Oktober lalu.

Menurutnya, pada 19 Mac dan 15 Jun 2009, Mahkamah Taiping telah menetapkan hukuman gantung sampai mati kepada kedua-duanya setelah rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, ditolak.

“Mereka masing-masing telah menjalani hukuman penjara lebih 16 tahun sejak direman pada 2001.

“Sultan Perak menitahkan agar hukuman mereka diringankan daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pada 12 Oktober lepas, Baginda telah mempengerusikan Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak yang diadakan menjelang sambutan ulang tahun keputeraan Baginda.

Beliau berkata, Baginda bertitah bahawa pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman hanya dipertimbangkan apabila banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal terhadap kesalahan yang dilakukan dengan memohon maaf, berkelakuan baik ketika berada dalam tahanan serta menunjukkan azam memulakan hidup baru.

“Baginda juga menitahkan nasihat bahawa, sesuatu hukuman yang dijatuhkan itu bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang terus dihormati,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");