Berita Hari Ini

Tidak Sesuai Guna Petrol RON92

CADANGAN oleh beberapa pihak kepada kerajaan dan syarikat minyak supaya memperkenalkan semula petrol RON92 dianggap tidak sesuai lagi digunakan di negara ini.

Walaupun usaha itu dibuat demi meringankan bebanan kos terhadap golongan bawahan dan pertengahan kerana harga minyak terus mencatat kenaikan, namun penggunaan petrol RON92 dianggap terkebelakang dan tidak relevan.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Dr Wong Shaw Voon berkata, walaupun harga petrol RON92 lebih murah berbanding RON95 dan RON97, tetapi tidak semestinya ia boleh diterima kebanyakan pengguna di negara ini.

“Dengan mutu teknologi semakin hari semakin maju, enjin kereta yang dicipta digunakan pada hari ini turut mengalami pembaharuan ketara.

“Walaupun RON92 masih boleh digunakan untuk sesetengah model kereta lama, tetapi jenis petrol ini sudah dianggap ketinggalan zaman. Ia bukan sahaja dikatakan boleh mencemarkan alam persekitaran dan kesihatan manusia, malah turut mencepatkan kerosakan enjin kereta,” katanya kepada China Press.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Yusof Abdul Rahman dipetik sebagai berkata, inilah masanya untuk kerajaan mengembalikan semula RON92 bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup.

Menurut Shaw Voon, peng gunaan RON92 dianggap mempunyai lebih banyak keburukan daripada kebaikan kerana ia bukan faktor menjimatkan kos sara hidup semata-mata, tetapi kesannya lebih buruk terutama terhadap kesihatan manusia dan kepentingan alam sekitar.

Bagi pengusaha stesen minyak pula, sekiranya RON92 diperkenalkan semula, sudah tentu akan mendatangkan banyak kesulitan kepada mereka, kerana bukan sahaja akan menjejaskan operasi stesen minyak disebabkan pertambahan jenis minyak, malah boleh mengelirukan pengguna.

“Di stesen minyak, ketika ini sudah disediakan petrol jenis RON95, RON97 dan diesel. Sekiranya ditambah RON92, ia mungkin akan menyebabkan pengguna tersalah pilih jenis minyak.

“Tidak mungkin pihak pengusaha stesen minyak akan tambah satu lagi pam untuk RON92 kerana ia membabitkan kos yang tinggi,” kata seorang pengusaha stesen minyak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz turut dikatakan tidak setuju langkah memperkenalkan semula RON92 kerana ia bukanlah jalan penyelesaian tepat bagi majoriti industri automotif.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");