Jenayah

Tren Kargo Tergelincir: SPAD Arah Siasatan Segera

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mempercepatkan siasatan tren kargo tergelincir di stesen Bank Negara, semalam.

SPAD juga mahukan laporan penuh insiden itu dikemukakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menjejaskan ramai pengguna.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, SPAD mengarahkan KTMB menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan hingga punca dikenal pasti.

“KTMB juga diminta mengkaji semula dan memperbaiki prosedur pengendalian gerabak bagi memastikan keselamatan terjamin,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan media, semalam, lapor BH Online.

KTMB juga diminta memulangkan tambang kepada penumpang ETS (perkhidmatan tren elektrik) yang mengalami gangguan perjalanan dan ingin membatalkan perjalanan.

“Ini bagi memastikan penumpang tidak menanggung sebarang kos tambahan perkhidmatan MRT dan bas, selain membolehkan mereka mengubah tarikh perjalanan.

“Penumpang yang terjejas berikutan gangguan perkhidmatan boleh menggunakan perkhidmatan rel alternatif seperti MRT di Sungai Buloh, Kajang, Muzium Negara, Pasar Seni dan LRT dari Subang Jaya.

“KTMB akan memastikan penumpang ETS dihubungkan ke stesen Sungai Buloh menggunakan MRT sebelum beralih ke ETS lain untuk meneruskan perjalanan, selain memastikan perkhidmatan bas disediakan dari Sentul-Kuala Lumpur dan Sentral-Sentul untuk penumpang terjejas,” katanya.

Sementara itu, suruhanjaya berkenaan akan meningkatkan penguatkuasaan sempena musim cuti sekolah, sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2018.

Penguatkuasaan bersepadu 24 jam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pihak penguat kuasa lebuh raya akan dijalankan dari 23 hingga 26 November.

Operasi Krismas dan Tahun Baharu 2018 akan bermula pada 22 Disember hingga 2 Januari 2018.

“SPAD juga akan bertemu pengendali bas ekspres supaya mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya menerusi penekanan terhadap pematuhan Kod Amalan Industri SPAD (ICOP) dan peraturan keselamatan setiap masa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");