Berita Hari Ini

UMNO: Perhimpunan Agung Tanam Semangat Menang PRU-14

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada 5 hingga 9 Disember ini akan menumpukan kepada memupuk semangat ahli ke arah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata semangat kemenangan akan ditanam dalam setiap perwakilan dan ahli parti.

Katanya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul PAU 2017 akan bertemu semua pembahas negeri supaya memberi tumpuan kepada kemenangan parti pada PRU-14.

“Saya yakin ucapan Presiden (Datuk Seri Najib Razak) ke arah itu juga (memenangi PRU-14) dan pembahas perlu bijak dan matang membahasnya,” katanya pada Sidang Media Khas PAU 2017 di Dewan Merdeka, hari ini.

Seramai 5,739 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan lima hari itu.

Ia membabitkan 2,761 perwakilan menghadiri PAU; 994 ke Perhimpunan Agung Wanita dan masing-masing 992 di Perhimpunan Agung Pemuda dan Puteri.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata perhimpunan bermula pada 5 Disember dengan Taklimat Presiden secara tertutup di Dewan Merdeka.

Katanya, ini diikuti Perasmian Perhimpunan sayap parti mencakupi Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sebelah malam.

“Pada 7 Disember diadakan acara menaikkan bendera parti, Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka PWTC sebagai simbolik bermulanya perhimpunan,” katanya.

Mengenai aspek keselamatan, Tengku Adnan berkata kaedah pengenalan identiti frekuensi radio (RFID) akan digunakan dalam perhimpunan kali ini.

“Perhimpunan kali ini juga akan mengurangkan penggunaan kertas sebanyak 70 peratus seperti disarankan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Kita akan mematuhi peraturan ini kerana UMNO bukan parti serpihan yang bermasalah dengan ROS, sehingga ROS pun pening kepala nak buat apa,” katanya.

Fakta Perhimpunan Agung UMNO 2017

  • 5,739 – Perwakilan
  • 51 –  Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara
  • 17 – Pemerhati parti politik luar negara dari 14 negara
  • 3.64 juta – Ahli UMNO
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");