Isu Panas

UMNO Perlu Kuasai Perang Siber Hadapi PRU-14 – Najib

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, mengingatkan jentera parti supaya mempertingkatkan gerak kerja khususnya dalam menangani isu dibangkitkan dalam media sosial bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata ini kerana kemenangan dalam PRU-14 yang dianggap ibu kepada segala PRU, ditentukan dalam perang siber.

“Ibarat kata (Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk) Ahmad Maslan, pada PRU-12 dan PRU-13, UMNO dan BN kalah dalam perang maya, maka pada PRU-14 nanti, kita akan pastikan UMNO dan BN menang dalam peperangan ini.

“Saya menganggap ini sebagai usaha yang teramat penting, saya anggap ini paling mustahak, kerana PRU-14 sangat-sangat dekat.

“Sudah dinyatakan berulang kali bahawa sumber maklumat yang terbesar dan paling berpengaruh adalah melalui media sosial. Ini sudah terbukti bahawa sesuatu berita itu sama ada berita itu benar, separuh benar atau tidak benar sama sekali, dalam bentuk fitnah, ia boleh tersebar luas, boleh diviralkan dalam masa sekelip mata saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahmad Maslan.

Konvensyen itu bertujuan memberi penerangan mengenai kepentingan, etika media sosial dan gerak kerja yang lebih berkesan kepada penggiat media sosial UMNO bagi menghadapi PRU-14.

Berucap di hadapan lebih 3,800 ahli UMNO, Najib berkata beliau bergantung harap kepada pejuang maya parti untuk memastikan kemenangan BN pada PRU-14.

Perdana Menteri berkata, jika BN yang ditunjangi UMNO memperoleh kemenangan pada PRU-14, kerajaan yang kuat akan dapat ditubuhkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat.

Katanya, ketika ini terlalu banyak berita palsu tersebar di media sosial yang perlu diperbetulkan.

“Contohnya, saya tidak bagi duit pada PAS sebab itu PAS saman Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown (pengasas dan editor Sarawak Report) sudah menggelabah, ini semua mengarut tetapi saya tidak boleh komen lebih sebab ia sudah jadi kes mahkamah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");