Perak Hari Ini

119 Tahun, Masjid Panglima Kinta Tetap Teguh

IPOH:Masjid Panglima Kinta, yang berusia 119 tahun, merupakan salah satu masjid tertua dan yang pertama dibina di Ipoh oleh Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof pada 1898.

Sungguhpun berusia lebih seratus tahun, masjid ini masih mampu menarik orang ramai untuk melaksana pelbagai aktiviti dan tidak keterlaluan jika dikatakan masjid lama ini memiliki kisah menarik serta keunikan tersendiri.

Masjid Panglima Kinta kini berada bawah kelolaan muzium serta dikategorikan sebagai masjid warisan di negeri ini telah menjadi contoh keunikan masjid lama yang terdapat di negeri ini.

Sejarah Pembinaan

Masjid Dato Panglima Kinta terletak di Jalan Mesjid, ia dibina oleh Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof pada tahun 1898 bagi mengenang isteri beliau yang meninggal dunia pada tahun itu.

Ia dulunya menjadi pusat penyebaran agama Islam kalangan masyarakat setempat yang menggabungkan seni bina Mughal dan Neo-klasik.

Dilaporkan, seorang ustaz dari Mesir, Shaik Tholji, pernah tinggal di sini dan menyumbang bakti mengajar penduduk setempat mendalami al-Quran.

Namun selepas kematiannya, jenazahnya turut disemadikan di makam keluarga Datuk Panglima Kinta, yang terletak di halaman belakang masjid berkenaan.

Bersebelahan masjid, terletak sebuah sekolah pondok yang didirikan sebelum Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1950-an, Fakih Ghazali bertindak memulihkan semula Madrasah Kamaliah sebagai sekolah Arab juga pusat pengajian Islam pertama di Ipoh dan ia diuruskan oleh jemaah masjid hingga 1970-an.

Masjid ini masih mengekalkan seni binanya yang asli dan difahamkan pada bahagian hadapan masjid pula dibina Madrasah Kamaliah, iaitu sekolah Arab pertama di Ipoh.

Pelbagai pembinaan diwujudkan di kawasan sekitar masjid seperti bagunan tambahan tempat mengambil wuduk dan bilik air di sebelah masjid serta balai lintang yang digunakan untuk perjumpaan dan majlis jamuan terutama pada bulan Ramadhan.

 

Mimbar masjid antara yang paling cantik dibina oleh seorang tukang kayu dan pengukir termasyhur Mohamed Sopian Abdul Wahab dari Seberang Perai pada tahun 1928 atas arahan Datoh Panglima Kinta Che Wan Mohamed Yusuf (1905-1947).

Mimbar ini dibuat daripada kayu dengan kaedah ‘tanggam’ tanpa menggunakan paku dan dihiasi dengan ukiran pokok bunga serta ukiran bunga tanjung yang melambangkan kesejahteraan dan tatatertib.

Kaligrafi bahagian hadapan adalah dari surah 33 Al-Ahzab ayat 56 Muhamed Sopian adalah juga tukang kayu yang membina istana Kenangan di Bukit Chandan Kuala Kangsar untuk Sultan Iskandar Shah Sultan Perak XXX1 1918-1938.

Dakwah Melalui Pelancongan Masjid

Menurut Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) merangkap Pengurus Tadbir Masjid Panglima Kinta Yeop Abdul Mutalib Azizul Hassan masjid dibuka kepada kunjungan pelancong sejak Ogos 2016 yang lalu menerusi program Mosque Tour Guide Program (MTG).

Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) merangkap Pengurus Tadbir Masjid Panglima Kinta Yeop Abdul Mutalib Azizul Hassan

Menerusi inisiatif para AJK masjid dan kerjasama Islamic Outreach ABIM Centre pihak masjid menyediakan pemandu pelancong yang bertugas bagi memberikan input dan maklumat kepada para pengunjung selain membawa mereka meninjau sekitar masjid.

“Perkhidmatan MTG ini dijalankan sejak Ogos tahun 2016 hasil inisiatif masjid kerana masjid ini banyak menerima kunjungan pelancong dan bagi memelihara kesucian masjid kami memantau dan memberi tunjuk ajar serta cara pemakaian yang betul kepada para pengunjung.

“Selain berdakwah mengenai keunikan Islam kami juga mereka mengetahui cara berpakaian yang sesuai ketika melawat masjid dan berkelakuan yang sepatutnya,” katanya ketika di temui di perkarangan masjid tersebut hari ini.

Jelasnya lagi, pihak pengurusan masih memerlukan lebih ramai penyertaan sukarelawan yang ingin menjadi pemandu pelancong di masjid ini dan diharapkan akan ada ramai individu terutama golongan belia untuk turut serta.

“Selain memberikan penerangan mengenai keunikan reka bentuk dan sejarah masjid ini kami juga berdakwah serta memberi penerangan mengenai Islam yang sebenar supaya para pengunjung jelas dan tidak berpandangan negatif,”katanya.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan pemandu pelancong masjid ini boleh menghubungi Fazil Shuhaimi Talib (019-3196601) atau Faizal (019-4354763) atau melayari laman facebook MTG www.facebook.com/MTGprogram/

Sementara itu bagi orang ramai yang berminat untuk mengetahui mengenai sejarah Masjid Panglima Kinta boleh hadir pada sesi yang disediakan seperti (Sabtu-Khamis) 9 pagi-12 tengah hari, 2 petang hingga 4 petang dan 5 petang hingga 6 petang manakala bagi Jumaat bermula pada jam 9 pagi hingga 11 pagi, 3 petang hingga 4 petang dan sesi terakhir pada 5 hingga 6 petang (bagi sesi tersebut pihak masjid ada menyediakan pemandu pelancong untuk menerangkan input mengenai masjid).

Masjid Panglima Kinta telah disenaraikan oleh Jabatan Warisan Negara sebagai Bangunan Warisan dibawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dalam tahun 2012. Masjid ini juga bangunan yang dikenalpasti sebagai sebahagian daripada jejak warisan Ipoh dan Jejak Masjid Perak yang dipromosikan kepada pelancong oleh Tourism Perak.

Masih Menerima Kehadiran Kunjungan

Masjid ini masih lagi beroperasi seperti biasa seperti menganjurkan majlis-majlis ilmu selain solat lima waktu sebagaimana masjid-masjid lain dan sehingga kini orang ramai yang melalui kawasan ini pasti singgah untuk menunaikan solat di sini.

“Walaupun lama, ia tetap selesa kerana beberapa penambahbaikkan yang dibuat dan hampir keseluruhan seni bina masih kekal seperti dahulu,” katanya.

Malah jelasnya, masjid sentiasa dibiarkan terbuka kepada kehadiran orang ramai dan tidak pernah dikunci serta sentiasa mengalukan-alukan kehadiran orang ramai untuk datang.

Di sebelah masjid ini turut terdapat Tanah Perkuburan waris dan kerabat Dato Panglima Kinta yang boleh diziarahi oleh orang awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");