Jenayah

2 Penjual Air Ketum Ditahan Di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki yang merupakan penjual air ketum ditahan polis dalam serbuan di sebuah kedai makan di Taman Alma Jaya, Machang Bubok di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis yang menjalankan Ops Cegah Jenayah membuat pemeriksaan di gerai makan itu kira-kira pukul 6.40 petang.

“Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 26 tahun berkenaan dan pemeriksaan yang dibuat dalam sebuah kotak bersama mereka mendapati terdapat 32 bungkusan air ketum,” katanya di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan dua lelaki itu berada di gerai makan berkenaan untuk menjual air ketum yang diproses mereka kepada pelanggan di sekitar kawasan tersebut.

Beliau berkata mereka dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari negeri jiran sebelum memprosesnya menjadi air ketum dan menjual dengan harga RM10 bagi setiap bungkus.

“Mereka menjadikan sebuah rumah di kawasan Machang Bubok untuk memproses air ketum itu dan mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan juga mendapati dua lelaki itu terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak lima bulan lepas dan menjadikan beberapa gerai makan di sekitar daerah SPT untuk menjual air ketum tersebut.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual air ketum bersama dua suspek yang ditahan itu.

Dua lelaki yang tidak bekerja itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");