Jenayah

2 Suspek Samun Van sekuriti Diburu Polis

SHAH ALAM: Polis Selangor kini giat mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam rompakan van pemindahan wang milik sebuah syarikat keselamatan di hadapan sebuah bank di Seri Serdang, 24 November lalu.

Menurut laporan BH Online, dua lelaki terbabit adalah Mohd Shamsul Hairry Shamsul Kahar, 30, yang beralamat di Bandar Springhill, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Mohd Azhar Mohamad Rawawi, 26, yang beralamat di Felda Tembangau 1, Kemayan, Pahang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata penangkapan dua suspek berkenaan akan membantu menyelesaikan kes rompakan wang berjumlah RM461,660 itu.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, tiga karung yang berisi wang berjumlah RM461,660 dilarikan sekumpulan lelaki dari van milik sebuah syarikat keselamatan.

Polis sudah menahan empat orang pekerja syarikat itu yang bertugas pada hari berkenaan, namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tidak mempunyai kaitan dengan rompakan terbabit.

“Pada 28 November, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai kakitangan teknikal syarikat berkenaan di pejabat cawangan di Senawang, Negeri Sembilan.

“Keesokannya, seorang lagi suspek iaitu peniaga kedai runcit berusia 25 tahun ditahan di FELDA Serting 5, Bandar Seri Jempol,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, susulan penahanan peniaga kedai runcit itu, polis berjaya menemui sejumlah wang bernilai RM106,600 yang disimpan dalam sebuah kotak di premis miliknya.

Beliau berkata, dua suspek itu ditahan reman selama lapan hari mulai 29 November hingga esok dan pihaknya tidak menolak kemungkinan baki wang yang dirompak berada di tangan dua lagi suspek yang sedang dikesan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");