Berita Hari Ini

Acara Naik Bendera Dahului Perasmian PAU 2017

KUALA LUMPUR: Majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden UMNO tiba pada jam 9 pagi bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Najib, yang berpakaian baju Melayu berwarna merah diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan, Mohd Irwan Ismail serta 150 anggota ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Presiden UMNO itu kemudian menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh anggota dan hadirin yang menyaksikan acara itu.

Pada majlis itu, lagu tema perhimpunan pada kali ini ‘Melayu Bersatu’ dinyanyikan oleh kumpulan koir mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan kakitangan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Selesai majlis itu, Najib bergerak ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden sekali gus merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");