Berita Hari Ini

‘Artis Juga Rakyat Biasa’

SHAH ALAM: Artis juga rakyat biasa dan mereka mempunyai hak untuk bersuara serta menyatakan pandangan di media sosial.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, dalam konteks media sosial yang bersifat terbuka, sesiapa sahaja berhak berbuat demikian.

“Kebetulan mereka artis dan ada pengikut. Mungkin bukan sahaja menyampaikan pandangan mereka, sebaliknya menyuarakan keluh-kesah pengikut mereka.

“Mereka ada hak untuk bersuara. Bila bercakap isu tertentu, misalnya isu kos sara hidup, nampak seolah-olah mengkritik kerajaan, sedangkan pelbagai pihak turut bersuara isu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas berkenaan terdapat beberapa artis tanah air yang menyatakan pandangan berkenaan isu semasa di laman sosial, sejak akhir-akhir ini.

Pandangan menyentuh isu ekonomi negara itu mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk dituduh sebagai alat pihak-pihak tertentu.

Bagaimanapun kata Mohd Azizuddin, golongan artis juga harus berhati-hati meletakkan had dalam menyuarakan pandangan, khusus sokongan terhadap parti atau individu tertentu.

“Artis juga perlu berhati-hati, meskipun mereka ada hak bersuara. Mereka perlu bersedia menerima tekanan dan kritikan daripada pihak yang tidak menyokong individu terbabit.

“Adalah lebih baik menyuarakan pandangan secara umum. Lainlah kalau mereka mahu masuk dalam bidang politik,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr P Sivamurugan berpandangan, perkara ini bukan baharu, malah semakin hampir dengan pilihan raya, pelbagai pihak tampil termasuk artis.

“Pada PRU13, golongan artis, misalnya Dayangku Intan, Aishah dan Herman Tino turut bertanding.

“Malah ada yang beri ceramah sebelum dan semasa pilihan raya seperti Hairie Othman, Abby Abadi dan Bob Lokman,” katanya.

Jelasnya, suara golongan artis berperanan cukup besar kerana ramai pengikut.

“Maka, suara mereka tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja dan harus didekati, tetapi golongan artis harus bijak menggunakan media sosial dengan mendapatkan maklumat  tepat terlebih dahulu.

“Manfaatkan saluran tersebut untuk mendapat informasi betul kerana mereka ada pengikut mudah dipengaruhi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");