Perak Hari Ini

‘Back To School’ Bantu 44 Rumah Anak Yatim, PSK Negeri Perak

IPOH:Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak membantu 44 pusat jagaan anak yatim dan miskin seluruh negeri ini, bagi membuat persiapan sekolah sempena sesi persekolahan 2018.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, Program Back to School Anak-Anak Yatim Negeri Perak kali ini adalah berupa kelengkapan beg sekolah dan wang tunai sebanyak RM50 bagi setiap anak-anak yatim terpilih di rumah anak yatim dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) seluruh Negeri Perak.

“Difahamkan sebanyak 1067 murid akan meneruskan alam persekolahan mereka pada tahun hadapan jadi sumbangan ini diharapakan dapat membantu mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada majlis tersebut.

Turut hadir sama, Pengarah JKM Negeri, Rosmahwati Ishak dan Pengerusi PSK Perak, Chung Kim Cheong.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada 37 wakil anak-anak yatim dan PSK di seluruh negeri ini serta beramah mesra bersama mereka.

Katanya lagi, anak-anak yang ditempatkan di pusat jagaan PSK atau di rumah anak-anak yatim juga boleh berjaya dan mendapat pendidikan yang sama seperti kanak-kanak lain di luar sana.

“Kita tidak sepatutnya membezakan dari segi memberikan ilmu kepada mereka, malah baru-baru ini terdapat pelajar yang berada di rumah anak yatim telah berjaya menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UITM) jadi mereka perlu diberi peluang yang sama kerana mereka boleh berjaya dengan syarat kita dapat membantu mereka apa yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu beliau turut menasihati para pengurusan pusat PSK dan rumah anak-anak yatim di negeri supaya memastikan keselamatan tempat tinggal dan asrama sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

“Pengurusan rumah anak yatim cuba tengok penginapan kita kerana mengambil iktibar dari kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz di Kuala Lumpur kita perlu memastikan pendawaian elektrik asrama dan pusat PSK sentiasa selamat, pintu jalan keluar juga perlu dipastikan tidak dihalang supaya mudah untuk anak-anak menyelamatkan diri sekirnya berhadapan dengan risiko bahaya,” katanya.

Berikutan itu katanya, bermula pada 1 Januari tahun hadapan, pihak Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memantau sistem pendawaian di pusat-pusat kebajikan dan rumah anak yatim seluruh Negeri Perak berada dalam keadaan yang selamat.

“Bomba akan memastikan keselamatan di rumah anak yatim sentiasa terjamin dan kita tidak mahu perkara tidak diingini disebabkan oleh kecuaian kita,” katanya.

Malah jelasnya, nasihat yang diberikan oleh pihak penyelamat kepada pengendali pusat PSK dan rumah anak Yatim juga perlu dipatuhi.

“Sekiranya pihak pengurusan pusat jagaan ingin mendapatkan khidmat nasihat, pemeriksaan kesihatan boleh memaklumkan kepada agensi yang bersesuaian kerana kami sentiasa bersedia untuk membantu.

“Apa yang utama anda perlu maklumkan kepada kami supaya segala masalah sampai kepada pihak kami termasuk JKM,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");